BERSATU tidak akan meminta penjelasan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berhubung kemungkinan berlaku perubahan sokongan Ahli Parlimen terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata ini kerana ia hanya gimik Datuk Seri Anwar Ibrahim, sedangkan Ahli Parlimen Umno mereka yang didakwa dalam senarai menyokong Presiden PKR itu telah menafikan hal berkenaan.
“Kami ada ramai rakan sekutu lain dan kebanyakan mereka menafikan. Ini menunjukkan (dakwaan Anwar) sekadar gimik.
“Penjelasan apa yang kami perlukan? Untuk kami, kami mahu bersama presiden kami dan pada masa sama rakan sekutu PN teguh, mereka bersama kami, jadi tidak timbul soalan kita perlu klarifikasi ataupun tidak,” katanya ketika ditemui media hari ini.
Kelmarin, Anwar mendakwa mendapat sokongan Ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan baharu.
Susulan itu, Ahmad Zahid dalam reaksinya mengakui ramai Ahli Parlimen Umno menyokong Anwar. – Malaysiapost

