KEMENTERIAN Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) meluluskan peruntukan sebanyak RM1 juta bagi kerja-kerja pembersihan sekitar kawasan tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, Ampang yang meragut empat nyawa semalam.
Menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, berkata peruntukan itu akan disalur kepada Majlis Perbandaran Ampang Jaya dan kerja-kerja berkaitan akan bermula setelah penilaian risiko dilaksanakan oleh jabatan dan agensi berkaitan.

“Sejurus selesai Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini, saya bergegas ke lokasi insiden tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, Ampang untuk melihat situasi kerja menyelamat oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
“Hadir bersama saya Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar, merangkap pengerusi Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Selangor yang turut meninjau keadaan di sini.
“Saya mengumumkan bahawa KPKT telah meluluskan peruntukan sebanyak RM1 juta bagi kerja-kerja pembersihan (clearance) sekitar kawasan yang terjejas akibat tanah runtuh yang berlaku,” katanya dalam di Facebook, hari ini.

Menurutnya, tragedi yang berlaku petang semalam melibatkan 15 rumah, menyebabkan lima mangsa terkandas termasuk empat mangsa telah meninggal dunia dan seorang mangsa cedera.
“Takziah diucapkan kepada keluarga mangsa yang terlibat,” katanya. – Malaysiapost

