PENERIMAAN pengundi terhadap kehadiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak seolah-olah beliau tidak terpalit dengan sebarang skandal mahupun keputusan bersalah oleh mahkamah.
Menurut dapat kajian Ilham Centre, Najib menjadi faktor yang menarik sokongan serta membina momentum kepada BN.
“Najib Razak mempamerkan kesungguhan luar biasa melalui blusukan dengan pengundi berbanding dengan siri pilihan raya kecil yang lain. MCA turut menggunakan pengaruh populariti beliau untuk berusaha memecahkan dominasi sokongan pengundi Cina kepada DAP.
“Penerimaan pengundi terhadap kehadiran beliau dipamerkan seakan-akan mantan perdana menteri tersebut tidak terpalit dengan sebarang skandal mahupun keputusan bersalah oleh mahkamah.
“Kehadiran beliau menjadi faktor penarik dan membina momentum tersendiri kepada kempen kepada BN,” kata laporan itu.
Menurut laporan itu lagi, Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor hangat kerana dipanaskan dengan kenyataan serang menyerang antara Najib dan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Katanya, perseteruan peribadi mereka mengheret pengundi untuk menentukan sikap dalam pengundian kelak, tanpa kontroversi dan berita panas ini mungkin fasa kempen PRN Johor akan lebih sejuk dan suram.
Muhyiddin dilihat memanfaatkan pengaruh beliau di Johor untuk mengimbangi pengaruh Najib.
“Imej beliau dijadikan ‘poster boy’ kepada kempen PN seluruh Johor. Menyukat populariti Muhyiddin di Johor, 43 peratus mengakui beliau berpengaruh di negeri selatan ini.
“Sedikit sebanyak kekuatan Muhyiddin ini membantu PN muncul sebagai pesaing terdekat BN terutama
di kawasan majoriti Melayu,” katanya.- Malaysiapost

