STRATEGI DAP mendalangi parti-parti ‘kelihatan Melayu’ serta cuba menakutkan rakyat dengan bakal kembalinya Umno dan Barisan Nasional (BN) tidak akan berjaya, tegas Ketua Umno Bahagian Ketereh, Tan Sri Annuar Musa.
Menteri Komunikasi dan Multimedia itu berkata, rakyat Johor dan Malaysia lebih takut kepada kehadiran semula DAP, selepas 22 bulan mereka diangkat menjadi kerajaan.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Ketereh mendakwa, ia susulan pelbagai kerosakan dan kepalsuan yang parti berkenaan bawa, berbanding dengan Umno dan BN yang rakyat sudah biasa beri mandat lebih dari 60 tahun.
“DAP bersungguh-sungguh cuba menakutkan rakyat dengan bakal kembalinya Umno dan BN.
“Mereka lupa rakyat telah kenal Umno sejak 1946, malah Umno itu tertubuh di istana Johor, diasaskan anak Johor dan di Johor mereka istiqamah bersama Umno sejak pilihan raya 1959 hingga Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).
“Hanya setelah PRU-14 di mana Pakatan Harapan (PH) yang didalangi DAP muncul dengan pelbagai janji dan hasutan, rakyat terkeliru seketika,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Menurutnya, kini rakyat Johor sudah berani menunjuk jalan kepada DAP bermula sejak Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai lagi.
“Strategi DAP mendalangi parti-parti ‘kelihatan Melayu’ tidak akan berjaya. BN sebagai parti muafakat berbilang bangsa kembali menjadi payung buat seluruh rakyat Malaysia,” tegasnya. – Malaysiapost

