‘Jangan biarkan Johor kembali kepada sebuah kerajaan yang tidak stabil’ – Najib

0
3

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengingatkan pengundi untuk memilih parti yang dapat membentuk sebuah kerajaan yang stabil, kompeten dan mempunyai majoriti kukuh pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Sabtu ini.

Beliau berkata, perkara itu penting untuk memastikan negeri itu tidak kembali kepada sebuah lagi kerajaan Johor yang tidak stabil dengan majoriti rapuh.

“DUN Johor sebanyak 56 kerusi. Majoriti mudah untuk menang PRN Johor ialah 29 kerusi.

“Namun DAP sendiri jangka PH akan kalah dengan ramalan 22 kerusi sahaja. Dia juga ramal PN hanya akan menang satu kerusi. DAP sendiri pun tak konfiden.

“Sekiranya ramalan DAP menjadi kenyataan pada PRN Johor Sabtu ini maka kita akan kembali ke sebuah lagi kerajaan Johor yang tak stabil,” katanya menerusi Facebook.

Justeru, Ahli Parlimen Pekan itu berkata, pengundi dinasihatkan supaya tidak memecahkan undi kepada parti lain yang mempunyai harapan tipis untuk menang.

“Jangan (jadikan) Pilihan Raya Negeri ini menghasilkan sebuah lagi kerajaan yang tidak stabil dengan majoriti yang rapuh sekali lagi.

“Jangan kita tukar daripada sebuah kerajaan tidak stabil, kepada sebuah lagi kerajaan yang juga tidak stabil. Bak kata orang utara, pi mai pi mai tang tu juga,” katanya.

Jelas Najib, pembetukan sebuah kerajaan yang stabil sangat penting dalam mengharungi zaman pandemik serta kelemahan ekonomi.

“Zaman pandemik bercampur dengan kelemahan ekonomi sejak PRU14 bermakna ini bukanlah masanya untuk mengambil apa-apa risiko.

“Sama-sama kita pastikan kemenangan rakyat di Johor dengan memangkah BN agar sebuah kerajaan yang terbukti, kompeten dan stabil dengan majoriti kukuh dapat dibentuk bagi memulihkan dan menjaga masa depan Johor,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here