Kumpulan Ah Long ‘Ah Wee’, ‘Ricky’ ditumpaskan

0
3

POLIS berjaya menumpaskan dua sindiket pemberi pinjaman wang tanpa lesen atau ‘Ah Long’ dalam beberapa serbuan dan tangkapan di sekitar Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Pahang pada Selasa lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Datuk Mohd Kamarudin Md Din, berkata dua sindiket yang ditumpaskan berkenaan dikenali dengan nama kumpulan ‘Ah Wee’ dan ‘Ricky’.

Menurutnya, seramai 44 individu termasuk ketua kumpulan serta anggota sindiket berkenaan berjaya ditahan membabitkan 43 lelaki tempatan dan seorang wanita tempatan berusia lingkungan 16 hingga 54 tahun.

“Turut dirampas 17 kenderaan pelbagai jenis, 107 telefon pintar, 55 kad ATM bank, 27 cek, 17 komputer riba, tiga mesin pencetak, 234 set iklan pinjaman wang, satu tin cat merah, satu tin semburan cat merah, satu parang, satu kotak iklan kad nama, wang tunai RM742 dan sejumlah dokumen berkaitan aktiviti pemberi penjiman wang.

“Sehingga kini 13 kertas siasatan telah dibuka berkait penglibatan sindiket ini dalam aktivi pemberi pinjaman wang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, berdasarkan siasatan, sindiket berkenaan dikesan mula beroperasi sejak awal 2021 dan menyaasarkan golongan peniaga serta kakitangan kerajaan dan swasta.

“Penawaran pinjaman dibuat melalui media sosial, risalah, poster dan sebagainya dengan kadar faedah antara 10 peratus hingga 30 peratus seminggu.

“Peminjam yang gagal membuat pembayaran balik akan diberi tekanan berbentuk ugutan dan ancaman seperti perbuatan khianat terhadap harta benda milik peminjam,” katanya.

Menurutnya, sisatan kini dijalankan mengikut beberapa Seksyen kesalahan antaranya Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951; Seksyen 506 Kanun Keseksaan (KK) kerana memberi ancaman atau ugutan jenayah; Seksyen 420 KK kerana menipu; Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958; Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram; dan Akta Pencegahan Jenayah 1959.

“Orang ramai diminta untuk terus membantu polis dengan memainkan peranan sebagai mata dan telinga bagi menyalurkan maklumat aktiviti jenayah komersil,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here