MALAYSIA memerlukan pakej kestabilan untuk membaiki politik kepartian, walau siapa pun menjadi Perdana Menteri, kata Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0).
Menerusi kenyataan dikeluarkan Jawatan Kuasa Pemandu Bersih 2.0, berkata Perdana Menteri bertanggungjawab untuk menghentikan pertukaran kerajaan disebabkan lompat parti oleh wakil rakyat yang dipilih.
“Pilihan raya mengejut sekalipun tidak akan mengembalikan kestabilan sekiranya parlimen tergantung menjadi kelaziman baharu dalam politik Malaysia.
“Bagi mengembalikan kestabilan politik, kerajaan mesti diberikan peluang untuk mentadbir dan pembangkang mesti diberi ruang untuk meneliti serta bersaing dengan kerajaan,” katanya.
Kenyataan Bersih 2.0 itu dikeluarkan bagi memberi respon dakwaan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengatakan beliau mempunyai majoriti ahli parlimen untuk membentuk kerajaan.
Mengulas lanjut katanya, pilihan raya mengejut tidak akan menjamin kestabilan.
“Bersih 2.0 sekali lagi ingin mengingatkan rakyat Malaysia bahawa ancaman peningkatan Covid-19 adalah sangat nyata dan mengadakan pilihan raya umum akan meningkatkan ancaman ini.
“Kami juga mempertimbangkan bahawa pilihan raya sebelum Julai tahun hadapan akan menafikan hampir lapan juta pengundi baru termasuklah empat juta pengundi muda antara 18-21 tahun.
“Mereka hanya dapat berada dalam senarai daftar pemilih sekiranya pendaftaran automatik dilaksanakan kelak,” kata kenyataan itu. -Malaysiapost.

