KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan terdapat mutasi jenis D614G dikesan pada semua 32 virus Covid-19 yang menjalani ujian penjujukan genom di makmal Institut Penyelidikan Perubatan (IMR).
Ketua Pengarahnya, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata keputusan itu diperoleh selepas IMR menjalankan ujian penjujukan genom ke atas 32 virus Covid-19 yang dikesan hasil ujian pengasingan dan kultur virus bagi Kluster Benteng LD (23 virus), PUI Sivagangga (4 virus), Tawar (3 virus), Sungai (1 virus) dan Kluster Bukit Tiram (1 virus).
Katanya, kajian susulan juga dijalankan bagi mengkaji kaitan genetik antara virus-virus yang diasingkan dan membandingkan dengan virus yang dikesan sebelum ini pada Kluster PUI Sivagangga dan Kluster Tawar.
“Seperti disyaki, kesemua virus yang diasingkan bagi kluster-kluster di Kedah (Kluster PUI Sivagangga, Kluster Tawar dan Kluster Sungai) adalah saling berkait dan besar kemungkinan berasal dari sumber virus yang sama.
“Kesemua 23 virus Covid-19 dari Kluster Benteng LD pula didapati saling menyerupai namun tidak berkait dengan virus yang dijumpai di Kedah, meskipun kesemuanya mempunyai mutasi D614G.
“Ujian-ujian ini adalah ujian awal dan terdapat beberapa ujian susulan sedang dijalankan bagi menguji lanjut kebarangkalian dan semakan dengan kumpulan keluarga virus Covid-19 (Phylogenetic tree),” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Dr Noor Hisham berkata, masyarakat perlu lebih berwaspada dan lebih berhati-hati kerana virus Covid-19 dengan mutasi D614G didapati lebih mudah menjangkiti individu lain dan mudah merebak.
Oleh itu, katanya, masyarakat diingatkan agar mengamalkan sepenuhnya prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
Ia termasuklah penjarakan fizikal, kebersihan kendiri yang tinggi terutama mencuci tangan dengan air dan sabun atau hand sanitizers, serta memakai pelitup muka terutama di tempat awam, tempat sesak, tempat tertutup dan ketika sembang jarak dekat. – Malaysiapost

