Saya tak terima maaf Mohamaddin – Zahid Hamidi

0
3

Nilam Oshman

PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak menerima permohonan maaf Datuk Mohamaddin Ketapi, susulan dakwaannya yang insiden pencerobohan Lahad Datu tujuh tahun lalu, sandiwara.

Ahmad Zahid berkata beliau tidak dapat memaafkan calon Parti Warisan Sabah (Warisan) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Segama itu kerana keluarga anggota keselamatan negara telah terguris.

Menurutnya, ketika peristiwa pada Mac 2013 itu, beliau adalah Menteri Pertahanan dan pergi ke Lahad Datu untuk melihat sendiri tragedi berkenaan.

Katanya, sebagai Menteri Pertahanan ketika itu, sukar digambarkan perasaanya melihat 10 onggota keselamatan negara terkorban.

“Ia (kenyataan) seolah-olah menghina polis dan tentera oleh tokoh politik itu menjadikan ia suatu bahan gurauan semasa berkempen.

“Saya sangat terluka kerana saya melihat keadaan di sana..  saya dan Panglima Angkatan Tentera ketika itu.

“Saya mengarahkan pengeboman dilakukan kerana tidak sanggup melihat orang-orang Tanduo, Simunul, Felda sahabat dan Lahad Datu (dijadikan tebusan dan dibunuh),” katanya secara langsung di Facebook Barisan Nasional (BN) hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, beliau sendiri melihat mayat penceroboh bergelimpangan.

“Selepas pengeboman itu, kita nampak mereka (penganas) pakai tangkal bukan hanya di lengan, tetapi perut dan leher… adakah itu ayam, itik, kambing atau manusia… jangan hina, terkena nanti.

“Saya berasa sensitif kerana soal keselamatan dan pertahanan jangan dipolitikkan,” ujarnya.

Katanya lagi, kemaafan itu harus dijawab dengan menolak calon dan parti diwakilinya dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, esok.

Baru-baru ini, tular video ucapan Mohamaddin yang mendakwa tragedi di Kampung Tanduo sebagai sandiwara.

Malah bekas Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya itu mendakwa anggota keselamatan negara berperang dengan ayam dan anjing.

Beliau kemudian memohon maaf dan menyatakan tiada niat menghina anggota keselamatan. – Malaysiapost