SETIAUSAHA Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin enggan membuat spekulasi berhubung kenyataan Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengenai pengumuman Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kononnya mendapat sokongan kukuh membentuk kerajaan baharu.
Hamzah berkata, beliau percaya terdapat beberapa kemungkinan yang menyebabkan Ahmad Zahid mengeluarkan kenyataan itu.
“Kenyataan dia boleh jadi tricky (berlapis) kerana mungkin ada seorang dua yang tekan dia untuk beritahu mereka bersama Anwar… kita tak tahu,” katanya seperti dilaporkan MalaysiaKini hari ini.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Larut berkata, jumlah sokongan yang ada pada Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu juga tidak diketahui.
Katanya lagi, paling penting adalah Ahli Parlimen yang ada dalam senarai tular itu kini sudah membuat penafian.
“Yang tidak membuat penafian… mungkin, saya tak tahu,” katanya lagi.
Kelmarin, Anwar mengumumkan telah mendapat sokongan majoriti kukuh untuk membentuk kerajaan baharu selepas Pakatan Harapan (PH) dijatuhkan melalui ‘Langkah Sheraton’ akhir Feb lalu.
Sejurus kemudian, Ahmad Zahid mengeluarkan kenyataan memberitahu dia dimaklumkan ada beberapa Ahli Parlimen yang menyokong Anwar dan Umno tidak dapat menghalang mereka.
Kenyataan itu sekali gus menimbulkan tanda tanya terhadap kedudukan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri kerana umum mengetahui sokongan yang diterimanya sebelum ini memang sangat tipis. -Malaysiapost

