PAS, Umno perlu istiqamah

0
2

Muhammad Mustakim Ramli

PAS dan Umno perlu istiqamah dan kembali ke landasan asal semasa pembentukan Muafakat Nasional (MN) pada 14 September 2019, kata Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor, Isham Jalil.

Beliau berkata, ia bagi mengelak kedua-dua pihak dibuai dan terumbang ambing dengan permainan politik pihak berkepentingan dan yang mahu mengambil berkesempatan.

“Saya yakin jika kita teguh dengan prinsip dan pendirian serta kembali ke landasan asal, kita akan berjaya mencapai matlamat yang termaktub dalam Piagam MN ditandatangani dahulu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas kenyataan PAS yang merasakan Umno tidak mematuhi persefahaman dan persetujuan termaktub dalam Piagam MN, jika benar dakwaan berlakunya perubahan sokongan Ahli Parlimen Umno terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sementara itu, Isham berkata, merujuk kepada setiap ayat, perkataan dan keseluruhan perenggan dalam Piagam MN, tiada satu pun merujuk kepada kesetiaan atau sokongan kepada Perdana Menteri, lebih-lebih lagi apabila Perdana Menteri itu adalah dari parti Bersatu yang bukanlah pihak yang termaktub dalam piagam.

“Piagam MN ditandatangani pada 14 September 2019 yang ketika itu Bersatu masih lagi berada dalam Pakatan Harapan (PH) dan Perdana Menteri yang menerajui PH ketika itu adalah dari parti Bersatu.

“Oleh itu hakikatnya, mengikut persefahaman piagam yang dipersetujui dan ditandatangani dahulu, pihak yang ingin dikalahkan bukan sahaja PKR, Amanah dan DAP seperti yang disebut, tetapi juga termasuk Bersatu dan Perdana Menterinya,” katanya.

Beliau berkata, oleh yang demikian, adalah satu kesalahan fakta jika ada berpendapat peralihan sokongan daripada Perdana Menteri (Bersatu) oleh Umno (jika ada) tidak mematuhi persefahaman dan persetujuan yang termaktub dalam piagam MN pada 14 September 2019,” katanya. – Malaysiapost

Foto Kredit: Awani