6 ditahan, 51 dikompaun

0
3

SEORANG lelaki tempatan bersama lima wanita warga asing ditahan, manakala 51 pengunjung sebuah pusat hiburan dikompaun dalam pemeriksaan Op Pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) 2021 di Jalan Pudu Ulu, Cheras, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar, berkata pemeriksaan dijalankan pada jam 10.10 malam oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah D7, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras.

“Pasukan pemeriksaan telah membuat tangkapan ke atas seorang lelaki warganegara dan lima wanita bukan warganegara atas kesalahan menjalankan perniagaan tanpa lesen yang sah, menggajikan pekerja asing tanpa permit sah dan bekerja tanpa permit sah.

“Turut dikeluarkan kompaun ke atas 52 warganegara mengikut Peraturan 17 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit PPN 2021 kerana terbabit aktiviti hiburan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, pelbagai barang hiburan turut dirampas dan kesemua suspek yang ditahan berusia 26 hingga 40 tahun disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hiburan Wilayah Persekutuan 1992, Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959 (Pindaan 2002).

“Polis menasihatkan orang ramai supaya mematuhi SOP yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam memutuskan rantaian wabak Covid-19.

“Justeru, polis memohon kerjasama orang ramai untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan pelanggaran SOP PPN 2021,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here