Calon MB Johor: Barangkali Wan Saiful ‘fan boy’ Puad – Zahid

0
2

PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan dakwaan Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkaitan calon Menteri Besar Johor tidak lebih daripada propaganda murahan Bersatu.

Beliau berkata, dakwaan Wan Saiful yang menyatakan Umno mahu melantik calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Rengit, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi sebagai Menteri Besar adalah semata-mata bagi menutup kegagalan mengemukakan calon Menteri Besar dari Bersatu.

Sehubungan itu, beliau menegaskan ‘poster boy’ Barisan Nasional (BN) sebagai calon tunggal Menteri Besar Johor adalah Datuk Seri Hasni Mohamed, seperti diumumkan dan disokong BN.

“Datuk Hasni adalah Pengerusi BN Johor dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Johor, yang juga merupakan MB Johor sejak Mac 2020.

“Beliau telah mempamerkan prestasi cemerlang dalam tempoh singkat tersebut, dan ini adalah calon BN yang lebih dihormati dan diyakini berbanding dua MB sebelumnya dari Bersatu.

“Malah, atas perkenan Tuanku Sultan Johor (Sultan Ibrahim Iskandar) kelak, hanya nama Datuk Hasni akan dikemukakan sebagai calon MB dari BN,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Ahmad Zahid berkata, barangkali Wan Saiful adalah ‘fan boy’ yang bermimpikan Mohd Puad menjadi Menteri Besar Johor.

Katanya, ia jelas menggambarkan bahawa BN tidak ketandusan calon terbaik dan mampu menerajui Johor.

“Saranan saya, adalah lebih baik untuk Datuk Wan Saiful memberi fokus kepada presiden partinya, yang telah tidak semena-mena menjadi poster boy sekali pun tidak bertanding susulan prestasi buruk kerajaan gagalnya di Putrajaya,” ujarnya.

Semalam, Wan Saiful mendakwa Mohd Puad yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno berniat untuk merampas jawatan Menteri Besar menggantikan Hasni, sekiranya Umno menang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here