SEORANG pesara doktor kerugian RM200,000 selepas menjadi mangsa penipuan Macau Scam yang menggunakan alasan nama mangsa digunapakai untuk pendaftaran kad kredit.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Mahidisham Ishak, berkata laporan polis berhubung kes itu diterima pada 26 Februari lalu membabitkan seorang pesara doktor kerajaan.
Menurutnya, pada 25 Februari lalu, lelaki tempatan berusia 83 tahun itu dihubungi seorang individu yang tidak dikenali yang mengaku sebagai wakil bank yang mendakwa nama mangsa digunapakai untuk pendaftaran kad kredit platinum master sedangkan urusan tersebut tidak wujud.
“Susulan dari panggilan telefon berkenaan, mangsa disambungkan kepada pihak kononnya Bank Negara yang memaklumkan satu laporan polis dibuat kerana nama mangsa telah disalhguna dan akan dibantu untuk membatalkan kad kredit tersebut.
“Mangsa juga telah menerima satu salinan laporan polis melalui aplikasi Whatsapp. Mangsa kemudian diminta menyerahkan user ID, kata laluan perbankan atas talian dan juga nombor OTP (One Time Password),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, suspek kemudian mengarahkan mangsa supaya memandankan mesej OTP yang diterima.
“Selepas urusan transaksi tersebut, mangsa teleh hubungi talian khidmat pelanggan bank berkenaan untuk semakan dan mendapati terdapat 14 transaksi pengeluaran dibuat dari akauan bank mangsa.
“Merasa dirinya ditipu, mangsa tampil membuat laporan polis. Kes melibatkan kerugian berjumlah kira-kira RM200,000 dan satu kertas siasatan telah dibuat mengikut Seksyen. 420 Kanun Keseksaan bagi tindakan siasatan selanjutnya,” katanya.
Mohd Mahidisham menasihatkan orang ramai supaya mengambil langkah berhati-hati dari terus menjadi mangsa penipuan Macau Scam. – Malaysiapost

