Najib sedia jelaskan isu tiada dana awam bayar hutang 1MDB

0
1
Pix via Malaysiapost

AHLI Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Razak bersedia menjelaskan di Dewan Rakyat berhubung dakwaannya mengenai hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak dibayar menggunakan wang pembayar cukai.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, beliau akan menggunakan Dewan Rakyat berhubung perkara itu setelah selesai Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

“Saya akan jawab balik.

“Esok tak boleh sebab saya ada di Johor. Saya akan berhubung dengan dia, lepas PRN saya jelaskan,” katanya kepada media di Bukit Gambir, hari ini.

Ahli Parlimen Pekan itu berkata, beliau akan berhubung dengan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun esok.

Najib berkata demikian ketika ditanya mengenai surat speaker yang meminta dia memberikan penjelasan kepada Dewan Rakyat berhubung perkara itu.

Semalam Azhar dilaporkan menulis surat kepada Perdana Menteri keenam itu untuk meminta dia memberi penjelasan kepada Dewan Rakyat, Rabu ini.

Azhar berkata demikian ketika ditanya di Parlimen mengenai usul Tony Pua (PH-Damansara) agar Najib dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan Parlimen di bawah Peraturan Mesyuarat 36 (12) Dewan Rakyat berhubung kenyataan itu.

Pua mengemukakan usul itu susulan ucapan Najib di Dewan Rakyat pada 2 Mac lalu yang dikatakan mengandungi kenyataan mengelirukan Dewan berhubung isu hutang 1MDB dan boleh ditafsirkan sebagai menghina Dewan Rakyat.

Sebelum ini, ketika membahaskan titah yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat, Najib mendakwa tiada dana awam digunakan untuk membayar hutang 1MDB.

Bagaimanapun, kenyataan itu disangkal oleh Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz dan bekas menteri kewangan Lim Guan Eng sebagai mengarut.

Bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, turut menyangkal dakwaan bahawa tiada dana awam digunakan untuk membayar balik prinsipal hutang 1MDB. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here