SELEPAS 10 hari diburu, tahanan wanita yang melarikan diri dalam keadaan bergari dari pekarangan Mahkamah Raub, ditahan di sebuah rumah di Kampung Gali, Raub, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Kama Azural Mohamed, berkata suspek berusia 23 tahun itu ditahan pada jam 9 malam bersama teman lelakinya berusia 22 tahun, yang dipercayai membantu wanita berkenaan melarikan diri.
“Kedua-dua suspek dijumpai di sebuah bilik di rumah itu dan serbuan juga menemukan motosikal dipercayai digunakan mereka pada hari kejadian,” katanya dalam kenyataan.
Kama Azural berkata, siasatan awal mendapati suspek lelaki yang beralamat di Benta, Lipis kira-kira 154 kliometer dari lokasi kejadian, mempunyai enam rekod kesalahan termasuk berkaitan dadah dan pecah rumah.
Dalam kejadian 4.30 petang pada 14 September lalu, wanita yang berasal dari Dong, Raub nekad melompat dan membonceng motosikal yang berhenti di sebelahnya dalam keadaan tangan bergari untuk melarikan diri.
Kejadian berlaku semasa suspek hendak dibawa pulang ke lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Raub, selepas tamat prosiding mahkamah terhadapnya yang didakwa positif dadah. – Malaysiapost

