Cuti umum di Sabah esok sempena PRN

0
2

KERAJAAN Sabah mengisytiharkan esok sebagai cuti umum Hari Kelepasan Am Khas bagi memudahkan penduduk negeri itu keluar mengundi sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-16.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dalam satu kenyataan hari ini berkata cuti umum itu dibuat mengikut Seksyen 9 Ordinan Hari Kelepasan Sabah (Sabah Bab 56).

Dalam kenyataan sama, Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) itu mengingatkan rakyat Sabah supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pelaksanaan pilihan raya oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan agensi lain yang berkaitan.

Katanya, pematuhan itu penting sebagai langkah pencegahan pandemik Covid-19 seperti disarankan Kementerian Kesihatan.

“Nasihat kesihatan dikeluarkan Kementerian Kesihatan harus dijadikan satu kebiasaan baharu dalam kehidupan harian,” katanya.

Seramai 1,088,711 daripada 1,103,646 pengundi biasa yang berdaftar di Sabah layak mengundi untuk memilih 73 wakil Dewan Undangan Negeri, esok.

Baki 14,935 pengundi lagi mengundi secara pos. – Malaysiapost