Rakyat Johor tolak kejumudan PAS, bukan tolak politik Islam

0
3

RAKYAT Johor menolak kejumudan PAS dan bukan politik Islam, kata Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Bekas Menteri Besar Johor itu membidas hujah Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang bahawa kurang kesedaran politik Islam di Johor adalah punca PAS tidak mampu menawan hati penduduk negeri itu.

Menurut Khaled, yang tidak disukai oleh bangsa Johor ialah PAS yang menunggang agama bukan Islam yang syumul.

“Politik Islam pada rakyat Johor ialah Johor yang Islami. Islam sebagai pemacu kemajuan dan Islam yang mengajak orang Johor berlumba-lumba melakukan amal soleh.

“Bukan politik Islam dengan masjid imam dua imam, fatwa kafir mengkafir dan segala kejatuhan talak jika tidak menyokong PAS. Yang pasti Johor bukan negeri paling ramai orang miskin di Malaysia seperti Kelantan,” katanya di Facebook, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, yang nyata pembangunan Johor dipacu pelaburan asing, perdagangan, ekonomi rentas sempadan dan pelbagai nilai yang progresif.

“Bukan negeri tanpa bekalan air bersih, rakyat berhijrah keluar kerana tiada pekerjaan dan kerajaan diurus dengan wang ehsan.

“Dan bila dapat sahaja wang ehsan, keutamaan politik Islam PAS ialah ‘Mercedes’ untuk Exco,” bidasnya.

Mohamed Khaled berkata, orang Melayu akan terus mundur jika politik Islam PAS jadi pilihan.

“Kerana mereka bukan menghidup-hidupi Islam, tetapi mencari kehidupan, kemewahan dan jawatan dengan Islam,” tegasnya lagi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here