[Parlimen] AHLI Parlimen Seputeh, Teresa Kok mempersoalkan keberadaan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim ketika banjir kilat melanda ibu negara, petang semalam.
Teresa turut mempersoalkan apakah sistem pengurusan banjir di negara ini masih lagi yang terbaik seperti mana dakwaan Shahidan sebelum ini.
“Mana YB (yang berhormat) Arau bila banjir berlaku, apakah dia ada di Kuala Lumpur atau di Johor, adakan beliu melihat kedahsyatan yang berlaku di Kuala Lumpur semalam,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap membahas titah Yang di-Pertuan Agong di Parlimen, hari ini.
Teresa berkata pada November 2013 Shahidan yang ketika itu Menteri di Jabatan Perdana Menteri mendakwa sistem pengurusan banjir di negara ini adalah yang terbaik brebanding negara lain.
Malah, Shahidan seperti dilaporkan berkata, pengurusan banjir di Malaysia adalah lebih baik berbanding Amerika Syarikat.
Semalam, Teresa mendakwa kenyataan Shahidan yang dipetik media pada November 2013 itu kembali tular selepas Kuala Lumpur dilanda banjir kilat.
Beliau berkata, kerajaan terutama Kementerian Wilayah Persekutuan perlu memberitahu apakah rancangan untuk menangani masalah banjir kilat di ibu negara.
Namun, katanya apa yang berlaku di ibu negara semalam, sama sekali bercanggah dengan perkara itu.
Beliau turut membangkitkan rancangan Kementerian Wilayah Persekutuan yang meluluskan pembinaan kediaman pencakar langit tinggi bagi mengatasi masalah kediaman warga ibu kota yang berkemungkinan menyebabkan berlaku banjir kilat di Kuala Lumpur.
“Saya bimbang dengan perkara ini dan meminta cadangan pembinaan rumah pencakar langit untuk atasi masalah kediaman ini ditangguhkan.
“Jika mahu melaksanakan projek di kawasan berkepadatan tinggi ini, aspek alam sekitar perlu di ambil kira dan dalam masa yang sama peparitan tidak dibesarkan, ia perlu di ambil kira begitu juga kesesakan lalulintas,” katanya.
Teresa turut mendakwa terowong banjir Lebuhraya SMART tidak berfungsi dalam kejadian banjir semalam.
“Saya menyeru pihak yang bertanggungjawab memberitahu mengapa Terowong SMART tidak berfungsi yang mana air banjir di akwasan saya tidak mengalir ke terowong ini,” katanya.
Beliau juga menggesa pembinaan kediaman mampu milik RUMAWIP yang dijenamakan semula sebagai Residensi Wilayah di kawasan sempadan dengan Selangor dikaji semula dan mendapat kelulusan negeri berkenaan.
“Saya diberitahu ada banyak projek ini tidak dimaklumkan kepada kerajaan Selangor, sedangkan ada banyak kelulusan perlu diperoleh daripada pihak berkuasa tempatan negeri berkenaan.
“Sebagai contoh pembinaan RUMAWIP di Bukit Jalil yang bersempadan dengan kawasan Kinrara, kerajaan perlu menjawab surat ditulis Exco Selangor mengenai perkara ini kerana ia turut membabitkan Majlis Perbandaran Subang Jaya dalam isu kesesakan lalu lintas,” katanya. – Malaysiapost

