Usul banjir kilat dibincangkan di Dewan Rakyat sedang diteliti

0
2

[Parlimen] SPEAKER Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun, bersetuju supaya isu banjir kilat yang melanda Lembah Klang khususnya ibu negara semalam, dibincangkan di Dewan Rakyat.

Terdahulu, usul itu dikemuka Fong Kui Lun (PH-Bukit Bintang) malam tadi serta Fahmi Fadzil (PH-Lembah Pantai) pagi ini, antara lain meminta supaya kementerian berkaitan memperincikan bentuk tindakan dalam mengawal selia bencana itu, lapor Berita Harian.

“Ramai sangat terkesan dengan banjir kilat semalam. Ada satu lagi aspek, ramai yang terkesan semalam adalah mereka yang terkesan (dengan banjir buruk) pada 18 dan 19 Disember lalu.

“Saya pohon supaya kita boleh bahaskan (usul ini). Harapan saya bukan saja Menteri Wilayah Persekutuan (menjawab), tapi kementerian yang ditugaskan menjaga Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan KASA (Kementerian Alam Sekitar dan Air) juga boleh, kerana ketiga-tiga kementerian ini saling berkait,” kata Fahmi ketika bangun meminta supaya usul dikemukakannya hari ini diterima.

Kemudian, Azhar memaklumkan akan meneliti kedua-dua usul itu dan mempunyai tempoh sehingga esok untuk menentukan kaedah perbincangannya.

“Saya menerima usul Yang Berhormat Bukit Bintang malam tadi jam 10 malam. Saya ada tempoh 24 jam (untuk putuskan kaedah perbincangan), saya akan jawab usul itu hari ini. Usul Lembah Pantai, saya terima 10 pagi tadi, jadi saya perlukan sehingga esok.

“Saya mencadangkan supaya perkara itu dibincangkan. Itu saja komen saya sekarang, tapi saya tak benarkan sekarang, esok saya maklumkan,” katanya.

Semalam, banjir kilat melanda beberapa kawasan di Lembah Klang, berikutan hujan berterusan sejak jam 3 petang semalam, mengakibatkan ribuan kenderaan terjejas dan dinaiki air. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here