WALAUPUN tidak bertanding, Perikatan Nasional (PN) dan Bersatu masih mendesak UMNO dan Barisan Nasional (BN) menjadikan Datuk Seri Ahmad Zahid sebagai ‘poster boy’ sebagai bahan kempen.
Ketua Penerangan Armada Pusat, Ashraf Mustaqim berkata, ini adalah masanya Umno menggunakan Presiden mereka sebagai ‘poster boy’ pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor seperti mana Bersatu yang telah melakukannya.
“Umno cabar PN guna gambar TS Muhyiddin dalam bahan kempen (poster boy) dan kita telah gunakan sebab kita tidak pernah malu malah bangga dengan pencapaian serta rekod TSMY.
“Kini masanya kita cabar Umno guna Zahid Hamidi sebagai poster boy,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Selain itu, Ashraf menegaskan, pengundi Johor perlu sedar satu undi untuk BN bermaksud satu undi untuk kluster mahkamah mendapat pembebasan.
“Pengundi Johor harus sedar bahawa PRN Johor ini dibuat bagi mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membubarkan kerajaan bagi diadakan PRU ke 15.
“PRU segera bagi membolehkan Umno menguasai kerajaan sepenuhnya atau lebih tepat kluster mahkamah menguasai sepenuhnya kerajaan lantas boleh gunakan kuasa lepaskan diri daripada penjara,” katanya.
Ashraf juga menjelaskan, Muhyiddin dijatuhkan daripada jawatan Perdana Menteri kerana enggan campur tangan kes mahkamah dan melepaskan mereka.
“Kini Ismail pun akan dijatuhkan dengan desakan PRU segera kerana gagal pastikan Zahid dan kluster mahkamah bebas.
“Mereka mahu pilihanraya tetapi malu untuk rakyat kenali mereka. Kali pertama dalam sejarah Presiden Umno, Pengerusi BN tidak ada poster atau bahan kempennya,” katanya.
Justeru, Ashraf berkata, Bersatu dan PN akan mengambil tanggungjawab daripada Umno untuk memperkenalkan presiden Umno di PRN Johor.
“Hari ini kami anak muda akan mulakan kempen memperkenalkan ketua umno dan BN juga kita cabar Umno BN gunakan imej ketua mereka.
“Jika mereka malu gunakan imej ketua mereka maka kenapa pula rakyat nak undi parti yang diketuai oleh koruptor,” katanya. – Malaysiapost

