LEMBAGA Lebuh Raya Malaysia (LLM) memaklumkan penutupan Terowong Jalan dan Pengurusan Air Banjir (SMART) berikutan banjir kilat yang melanda beberapa kawasan di Lembah Klang, hari ini.
Menerusi ciapan di laman Twitter, LLM berkata antara laluan yang akan terjejas akibat penutupan terowong itu ialah laluan masuk terowong dari Taman Desa dan Cheras menghala ke pusat bandar.
“Selain itu, susur keluar terowong dari pusat bandar menghala ke Cheras turut ditutup,” tulis LLM dalam ciapan itu.
Terdahulu, Malaysiapost melaporkan hujan lebat hampir dua jam di sekitar Lembah Klang petang tadi menyebabkan beberapa kawasan dilanda banjir kilat.
Berdasarkan video yang dikongsi pengguna laman Twitter, kelihatan beberapa kenderaan yang berada di tengah jalan raya sudah ditenggelami air, dan rakaman tular itu juga menunjukkan seorang individu terpaksa memanjat bumbung kereta untuk menyelamatkan diri.
Banjir kilat yang berlaku petang tadi membabitkan kawasan sekitar Kuchai Lama, Cheras, Jalan Pudu, Jalan Tun Razak, dan Jalan Pahang. – Malaysiapost

