Azalina dakwa Parlimen tiada taring

0
2

[Parlimen] MEMORANDUM Persefahaman (MoU) di antara kerajaan dan pembangkang perlu bertumpu kepada fungsi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC), bagi memastikan mereka bertindak lebih berkesan.

Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata MoU itu tidak wajar dihadkan kepada dana pembangunan kawasan pilihan raya, Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti dan undang-undang yang hanya merujuk kepada pindaan Perlembagaan Persekutuan.

“Saya lihat, perlu kita tekankan satu peranan yang boleh dimainkan MoU ini adalah merujuk kepada apa yang sudah disebut, agaknya kekeliruan kuasa PSC.

“Saya tidak mahu tegur pegawai kerajaan hadir atau tak hadir bila dipanggil, tapi kalau merujuk peraturan mesyuarat, bawah peraturan 83(2) terdapat satu ‘lakonan’,” katanya memetik laporan Berita Harian.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih dan Pembahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata, selagi kekeliruan itu tidak diselesaikan, pegawai kerajaan yang dipanggil keliru sama ada kehadiran itu diwajibkan atau sebaliknya.

“Ia akan dipanggil sebagai surat jemputan atau sapina? Selagilah kekeliruan ini tidak dinyatakan, ramai pegawai kerajaan akan berasa tidak begitu yakin bahawa kehadiran itu diwajibkan atas apa platform sekalipun.

“Mungkin mereka hadir kerana menghormati sebab dijemput. Bila hadir tidak ada satu ‘template’ dalam bahasa Melayu yang boleh dipakai bagi semua jawatan kuasa pilihan.

“Di mahkamah, kalau tidak hadir dikenakan ‘contemp (of court)’. Tapi dalam Parlimen, sebagai badan ketiga terbesar dalam Perlembagaan, tidak ada taring dan giginya,” katanya.

Beliau berkata, dalam mendepani beberapa isu hangat mutakhir ini, PSC seolah-olah tidak nampak peranannya pada mata rakyat.

“Saya bangga badan kehakiman di Malaysia menjadi badan bebas dan dihormati sebab keputusan nampak tidak berat sebelah.

“Tapi kami sebagai Ahli Parlimen, seolah-olah bertanya pun tak jawab, panggil pun tak datang.

“Seolah-olah, kami hanya pegawai kebajikan dan kadang-kadang macam kontraktor. Kalau itulah peranan MoU hanya memberi kuasa lebih kepada mana-mana pihak, kita khianat kepercayaan yang diberikan oleh rakyat,” katanya.

Beliau juga meminta Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun memberi penerangan kepada Ahli PSC mengenai fungsi dan peranan mereka dalam setiap jawatan kuasa yang disertainya.

“Bila hadir pun, apa yang boleh dan tak boleh dinyatakan pegawai kerajaan (yang dipanggil) itu. Sebab dalam elemen Akta Rahsia Rasmi, tidak semua maklumat boleh diberikan pegawai yang hadir.

“Ini juga perlu diterangkan, supaya Ahli Parlimen tahu apa yang perlu ditanya dan apa yang boleh didapatnya,” katanya.

Tanpa memperinci PSC berkenaan, kenyataan Azalina itu dilihat merujuk kepada isu membabitkan PSC Bagi Agensi Di Bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang gagal memanggil Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berhubung isu pemilikan saham yang dihadapinya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here