KL City FC mengutuk sekeras-kerasnya perlakuan orang ramai yang terlibat dalam menyebabkan, menyebarkan dan membiarkan insiden keganasan berlaku di luar Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, malam Sabtu lalu.
Menerusi kenyataan hari ini, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Stanley Bernard bagaimanapun merakamkan penghargaan kepada pasukan keselamatan yang pantas menghalang tindakan segelintir individu tidak bertanggungjawab dalam insiden terbabit.
Menurutnya, tindakan segelitir individu tersebut bagaikan cuba merampas keghairahan perlawanan yang sengit sepanjang 94 minit di atas padang antara KL City Fc dan Selangor FC yang berkesudahan 3-3.
“Daripada klip yang tersebar, jelas pegawai polis dan marshall bertindak balas dengan cepat terhadap situasi itu.
“Ini kerana langkah awal kami menempatkan lebih ramai anggota keselamatan untuk perlawanan ini,” katanya.
Menurut Stanley, sentiasa menjadi keutamaan pihaknya untuk memastikan peminat berasa selamat dan terjamin apabila berkumpul untuk menonton perlawanan melibatkan pasukan itu.
“Dengan itu, adalah tanggungjawab kami untuk memastikan kepada anda bahawa kami membenci setiap tindakan provokasi atau hooliganisme yang berlaku.
“Bersama-sama pihak berkuasa masing-masing, kami akan cuba mengenal pasti punca dan membasmi punca yang memalukan permainan ini,” katanya lagi.
Terdahulu, tular rakaman video menunjukkan kekecohan di luar stadium itu apabila penyokong kedua-dua pasukan dilihat berkejaran selain membaling mercun
Susulan insiden itu, polis menahan dua lelaki berusia 21 dan 23 tahun bagi membantu siasatan. – Malaysiapost

