TGV mohon maaf, Filem Batman diulang semula sebab VIP tiba lewat

0
2

PENGENDALI rangkaian pawagam, Tanjung Golden Village Cinemas (TGV) memohon maaf dan menawarkan dua tiket percuma serta bayaran balik kepada penonton yang terjejas ketika tayangan filem ‘The Batman’ di TGV Vivacity Kuching, Sarawak, kelmarin.

TGV dalam kenyataan di Twitter, berkata insiden tersebut berlaku kerana kelewatan beberapa orang kenamaan (VIP) yang tiba selepas 45 minit filem ditayangkan di pawagam.

Menurut TGV, tayangan ‘The Batman’ perlu diulang semula setelah 45 minit kerana kelewatan VIP tersebut.

“Kami ingin memohon maaf kepada semua penonton yang terkesan dengan kelewatan sesi untuk ‘The Batman’.

“Insiden ini tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) tayangan kami kerana semua sesi filem akan berjalan mengikut masa berdasarkan jadual.

“Sebagai tanda maaf, kami akan menawarkan dua tiket percuma dan bayaran balik penuh kepada semua tetamu yang terjejas.

“Sila hubungi kami di [email protected],” menurut kenyataan itu.

Terdahulu, seorang pengguna Facebook Fazillah Raduan berkata filem itu bermula pada jam 7.15 malam dan ditayangkan selama 45 minit sebelum dihentikan seketika.

Katanya, seorang kakitangan kemudian masuk dan membuat pengumuman: “Kami akan memulakan semula filem itu dari awal. Maaf atas kesulitan yang timbul.”

Ketika ditanya, kakitangan itu kononnya berkata ia disebabkan oleh beberapa pelanggan yang baru tiba.

Walaupun seorang pengurus telah menawarkan bayaran balik, Fazillah berkata wang itu bukan masalahnya.

“Filem ini adalah 178 minit. Sekarang saya terpaksa bertahan lagi 45 minit hanya kerana sekumpulan orang masuk lewat?

“Ini bukan tentang duit, ini tentang keadilan. Adakah anda cuba memberitahu saya bahawa saya dan pelanggan yang lain adalah kurang penting daripada mereka yang sampai lambat itu,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here