Perjuangan Pemuda Umno desak selamatkan aset TH langkah tepat

0
1

PERJUANGAN Pemuda Umno yang kuat mendesak agar kerajaan campur tangan dalam ‘jualan lambak’ aset-aset Lembaga Tabung Haji (TH) ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH) adalah langkah tepat.

Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata langkah agresif sayap Umno itu berjaya menyelamatkan TH sekali gus mencatat keuntungan memberangsangkan.

“Bayangkan jika 76.2 peratus keluasan ladang sawit milik TH yang berjumlah 101,000 hektar yang diputuskan kerajaan PH berjaya dijual, sudah tentu TH Plantation tidak mengaut keuntungan sebelum cukai

“.. yang naik ke RM138 juta tahun lepas berbanding kerugian yang dialami pada tahun 2019 dan 2018 di bawah PH,” katanya menerusi Facebook.

Beliau berkata, ketika pentadbiran kerajaan PH bersama Bersatu, TH diarah untuk menjual 76.2 peratus daripada keluasan ladang sawit kerana ia didakwa membebankan berikutan harga semasa sawit ketika itu rendah.

“Selepas menjadi kerajaan PN, menteri Bersatu masih meluluskan penjualan TH Plantations.

“Kami yang dedahkan penjualan ini. Kami yang kuat membantah. Kami yang berjuang bagi semua umat Islam yang mencarum dalam Tabung Haji.

“Ini duit pakcik, makcik, abah, ibu kita. Akhirnya kami berjaya hentikan penjualan,” katanya.

Jelas Asyraf Wajdi, TH akan menanggung kerugian yang begitu besar sekali sekiranya ladang itu berjaya dijual kerana harga sawit ketika ini telah mencecah RM7,000 satu tan.

“Pemuda Umno dan Umno akan terus membela nasib seluruh umat Islam di negara ini,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here