Najib fail saman terhadap Shamsul Iskandar

0
3

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini mengarahkan peguamnya untuk memfailkan saman fitnah terhadap Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Najib berkata ia selepas Ketua Penerangan PKR itu gagal menjawab surat tuntutan peguamnya susulan hantaran bergambar dimuatnaik di media sosial mendakwa beliau mencuri RM2.6 bilion untuk menampung gaya hidup mewah.

“Ini yang tidak akan diakui oleh mana-mana pemimpin dari geng sebelah sana walaupun ia bukti mahkamah sebab mereka mahu teruskan propaganda menipu bahawa Najib kononnya curi RM2.6 bilion untuk beli cincin dan beg tangan,” katanya.

Ahli Parlimen Pekan itu berkata pemimpin parti lawan tidak akan mengaku beliau didakwa di bawah kes pengubahan wang haram (AMLA), bukan mencuri mahupun merompak manakala dan dana tersebut telah dipulangkan kepada penghantar.

“Bahawa saya didakwa dengan sembilan pertuduhan menerima dana dikatakan RM2.6b itu dan juga didakwa dengan tujuh pertuduhan memulangkan dana tersebut kepada penghantar empat bulan selepas dimasukkan ke dalam akaun atas nama saya.

“Bahawa Kementerian kewangan Arab Saudi pernah memindah sekurang-kurangnya RM642 juta kepada akaun atas nama saya yang kemudian digunakan untuk kerja CSR termasuk bantuan banjir bagi empat tahun berturut, bukan untuk kegunaan peribadi.

“Jadi, bagaimana pula saya rompak RM2.6b untuk simpan dan “tampung gaya hidup” saya?,” soal Najib.

Pada 23 Februari lalu, Shamsul Iskandar membuat naik satu hantaran dengan kenyataan “Anda masih lagi ingin memuji dan mempertahankan orang yang digelar #KemaluanNegara tu?” di laman Facebooknya.

Hantaran itu disertakan tiga gambar iaitu bekas Pengerusi Goldman Sachs bagi Asia Tenggara, Tim Leissner; ahli perniagaan dalam pelarian, Low Taek Jho, dan Najib dengan nilai wang rakyat yang didakwa digunakan mereka untuk menampung gaya hidup. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here