Najamuddin Mohd Nor
KEBIASAANNYA bapa borek, anak rintik namun berbeza di Dewan Undangan Negeri (DUN) Semerah apabila seorang anak membantu jentera lawan menentang bapanya.
Begitulah nasib yang terpaksa dihadapi Mohd Khairul Izzat Ariss yang tetap setia dengan Umno dan Barisan Nasional (BN) walaupun bapanya kini bertanding atas lambang Perikatan Nasional (PN).
Bapanya, Datuk Ariss Samsudin sebelum ini pernah menjadi wakil rakyat BN di kawasan Semerah sejak 2004 hingga 2013 dan penampilan kali ini ibarat ‘sirih pulang ke gagang’.
Ditanya bagaimana beliau menghadapi situasi ketika ini, Khairul Izzat menjelaskan, hubungan dengan bapanya, begitu juga ahli keluarga yang lain tetap seperti biasa dan harmoni.
“Tiada apa masalah pun, kami tetap profesional. Saya bukan calon melawan dia, saya hanya parti yang ditentangnya.
“Namun saya sebagai anak mendoakan yang terbaik untuk bapa dan hormati keputusannya untuk kembali bertanding,” katanya kepada Malaysiapost.
Khairul Izzat yang juga Ketua Penerangan Umno Bahagian Parit Sulong ditemui ketika membantu calon BN, Mohd Fared Mohd Khalid bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di Semerah, malam tadi.
Bagaimanapun Khairul Izzat tetap berterima kasih kepada bapanya kerana dialah individu yang bertanggungjawab mempengaruhinya menyertai Umno dahulu.
“Ceritanya, bapa saya yang bawa masuk saya ke dalam Umno. Saya pun dengan prinsip saya dan yakin dengan Umno. Bila dia keluar Umno, mungkin ada benda lain yang dia cari. Jadi saya tak ikutlah,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Fared memuji kesetiaan orang muda seperti Khairul Izzat kerana bukan mudah situasi dihadapinya ketika ini.

“Ini contoh anak muda berprinsip, biarpun bapanya menentang kita, tapi kerana prinsip dan melihat Umno parti lebih baik untuk membela nasib rakyat dan kestabilan ekonomi negara, maka Khairul Izzat tetap setia,” katanya.
DUN Semerah menyaksikan pertembungan lima penjuru pada PRN Johor.
Tiga lagi calon ialah Kamarolzaman Mohd Jidi mewakili Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Mahdzir Ibrahim daripada Pejuang dan penyandang DUN berkenaan, Mohd Khuzzan Abu Bakar daripada PKR.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Mohd Khuzzan menang dengan majoriti 98 undi menewaskan Mohd Ismail Roslaq dari BN. – Malaysiapost

