Rakyat Sabah mahu PRN bawa sinar baharu

0
3

RAKYAT Sabah berharap Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini akan membawa lebih banyak perubahan dan ‘sinar’ baharu kepada rakyat secara keseluruhannya, terutama golongan belia, B40 dan orang kelainan upaya (OKU).

Edeati Jangkat, 38, yang juga pekerja Pusat Latihan Orang Buta Taman Cahaya  berkata, golongan OKU di pusat itu berharap nasib mereka lebih dibela oleh kerajaan yang bakal diberi mandat.

Katanya, ia termasuk dengan meneruskan pembinaan rumah baharu yang dijanjikan untuk golongan cacat penglihatan di kawasan Sungai Manila.

Edeati Jangkat

“Sebelum ini, kami (OKU) agak terpinggir. Tiada lagi bantuan diberikan kepada pusat kerana untuk melatih OKU perlu banyak dana.

“YB Vivian (Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong) ada bantu juga dapatkan dana untuk membina baru rumah orang buta di sini tapi selepas kerajaan Pusat bertukar, tiada lagi dengar cerita bila akan diteruskan (pembinaan rumah),” katanya ketika ditemui di Sandakan, hari ini.

Bagi belia pula, Siti Aisyah Noor Sufrah, 26, dari Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sungai Manila, mereka berharap kerajaan yang terbentuk pada PRN ini akan membawa golongan belia ke tahap lebih baik terutama daripada segi peluang pekerjaan.

Peniaga kecil itu berkata, kekurangan peluang pekerjaan di daerah ini menyebabkan ramai belia berhijrah ke bandar besar seperti Semenanjung.

Siti Aisyah Noor Sufrah

“Kami harap kerajaan yang menang esok adalah kerajaan yang bertanggungjawab, peka terhadap isu belia supaya belia tidak lagi keluar cari kerja di tempat lain.

“Selepas pilihan raya lalu, tiada perubahan yang kami lihat di sini. Ada bantuan seperti ketika awal-awal Covid-19 melanda, tapi lambat sampai dan ada yang tak dapat langsung,” katanya.

Sementara itu, Nur Alifah Amirah Abu Talib, 26, dari Pekan Muhibbah pula berharap agar bukan saja bantuan seperti Bantuan Prihatin Nasional (BPN) diteruskan, malahan PRN ini membawa makna lebih baik kepada rakyat Sabah.

Nur Alifah Amirah

Katanya, apa yang rakyat mahukan apabila PRN dilaksanakan adalah kerajaan yang mampu meneruskan usaha membangunkan kawasan di negeri ini termasuk Pekan Muhibbah menerusi penyediaan lebih banyak prasarana dan peluang pekerjaan. -Malaysiapost