PROGRAM Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia yang pertama kali diadakan di luar Kuala Lumpur, mencatat kejayaan apabila sasaran padanan perniagaan merekodkan pencapaian RM5.26 juta.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata jumlah itu melepasi sasaran RM3 juta yang diunjurkan.
“Tahniah buat Keluarga Malaysia di Johor,” katanya di majlis sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia di Dataran Angsana Johor Bahru.
Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, keputusan kerajaan mewujudkan 1,800 komuniti Keluarga Malaysia di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen membolehkan komuniti tersebut memberi fokus kepada penyampaian maklumat kerajaan yang berkesan.
“Selain itu, memastikan pihak kerajaan sentiasa cakna dengan permasalahan Keluarga Malaysia.
“Justeru, Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia ini sangat penting dalam menguar-uarkan manifestasi dan pelaksanaan usaha berterusan Kerajaan dalam membantu meringankan beban rakyat secara turun padang ke seluruh negara.
“Alhamdulillah suka saya berkongsi kejayaan Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia di Johor Bharu yang bermula sejak Khamis, 3 Mac 2022, yang telah merekodkan hasil jualan usahawan-usahawan tempatan dengan nilai jualan sebanyak RM186,191 secara keseluruhan,” katanya.
Beliau berkata, jualan tersebut dihasilkan melalui enam booth jualan Keluarga Malaysia yang mengambil bahagian bernilai RM49,110.
“Bagi segmen Jualan Usahawan yang melibatkan 150 booth turut merekodkan jualan sebanyak RM130,447.40, segmen jualan Citarasa Keluarga Malaysia yang membabitkan sembilan booth mencatatkan jualan RM27,811, manakala bagi jualan Food Truck pula mencatat RM22,346,” katanya. – Malaysiapost

