RAPID Rail Sdn Bhd menyarankan pengguna Transit Aliran Ringan (LRT), Laluan Transit Aliran Massa (MRT) dan Monorel tidak berlengah melapor sebarang aktiviti cubaan jenayah atau kejadian mencurigakan dalam kawasan premis kendaliannya.
Sebaliknya, laporan segera dapat membantu operator pengangkutan awam itu bertindak.
Ia susulan rakaman video seorang penumpang yang tular di media sosial, mendakwa didatangi tiga lelaki yang cuba memperdaya beliau untuk meminta wang.
Kejadian tersebut dilaporkan berlaku di platform Stesen MRT Merdeka, 2 Mac lalu.
Pada masa kejadian, Polis Bantuan Prasarana bertugas memeriksa penumpang yang memasuki stesen di aras ruang legar.
Hasil semakan kamera litar tertutup menunjukkan ketiga-tiga lelaki berkenaan cuba memperdaya mangsa ketika ketiadaan Polis Bantuan di platform.
“Untuk membantu penumpang dan memudahkan pengguna membuat laporan tanpa berlengah, Rapid Rail akan menambah lagi -notis pemberitahuan serta nombor telefon untuk dihubungi di kawasan platform. Ini akan membantu supaya tindakan segera boleh dijalankan.
“Pengguna juga boleh melaporkan kepada pegawai stesen yang bertugas di dalam kaunter sekiranya ketiadaan anggota Polis Bantuan di kawasan berkenaan kerana sedang melakukan rondaan,” menurut Rapid Rail dalam satu kenyataan, hari ini,
Dalam masa sama, Rapid Rail akan terus bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi meningkatkan pemantauan dan rondaan khususnya di kawasan yang dikenalpasti berpontesi berlakunya jenayah.
Di samping itu, Pasukan Tindakan Khas (SAT), unit di bawah kendalian Polis Bantuan Prasarana, akan menambah dan melipatganda rondaan dalam tren dan stesen untuk memantapkan pengawalan sekuriti demi keselesaan dan keselamatan penumpang.
“Rapid Rail akan mengadakan siri kempen cegah jenayah menerusi platform media sosial untuk memberi kesedaran dan pengetahuan kepada pengguna untuk melakukan tindakan yang perlu sekiranya berhadapan situasi sebegini,” kata kenyataan itu lagi. – Malaysiapost

