Gaduh luar stadium, polis tahan 2 penyokong

0
2

DUA lelaki ditahan kerana terbabit dalam kekecohan selepas aksi Liga Super antara KL City FC dan Selangor di luar Stadium Bolasepak Kuala Lumpur di Cheras, malam tadi.

Lelaki berusia 21 dan 23 tahun itu ditahan sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata ketika kejadian pada 12.30 tengah malam itu, sepasukan polis yang bertugas di stadium berkenaan mendapati beberapa penyokong bergaduh antara satu sama lain.

Katanya, polis cuba meleraikan keadaan yang kecoh dan mengarahkan dua kumpulan penyokong untuk beredar tetapi dua lelaki tersebut tidak mengendahkan arahan.

“Seterusnya polis telah menangkap kedua-dua suspek kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan mereka ditahan di lokap Balai Polis Salak Selatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Muhammad Idzam berkata, pihaknya mendapat perintah reman di bawah Seksyen 117 KTJ selama tiga hari bermula hari ini hingga 7 Mac untuk melengkapkan siasatan.

“Sehubungan itu, polis memberi amaran keras agar orang ramai tidak terlibat dengan apa-apa kegiatan yang melanggar undang-undang, serta tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas,” katanya.

Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi IPD Cheras di talian 013-2165881, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0584/ 585 atau mana-mana Balai Polis yang berdekatan.

Terdahulu, tular rakaman video menunjukkan kekecohan di luar stadium itu apabila penyokong kedua-dua pasukan dilihat berkejaran selain membaling mercun. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here