PELAKON Mimi Lana mendedahkan mengalami gejala yang agak teruk selepas disahkan positif Covid-19, lima hari lalu.
Mimi atau nama lengkapnya Mimi Rozaiana Zainal Abidin, 26, berkata dia mengalami sakit-sakit badan dan mengeluarkan kahak bercampur darah.
“Satu badan sakit rasa macam tulang semua dipatah-patah sampai tak tahu nak duduk posisi macam mana.
“Sejuk menggigil, kahak berdarah, berpeluh-peluh sampai sesak nafas yang sangat teruk,” katanya dalam hantaran di Instagram.
Pelakon drama Hati Yang Tersakiti itu juga memberitahu peratusan oksigen dalam badannya juga menurun dengan mendadak sehingga 85 peratus.
Bagaimanapun, apa yang menyedihkan apabila dia menghubungi hospital namun disebabkan peningkatan kes harian yang tinggi, pihak hospital tidak dapat menerimanya.
“Saya telefon hospital tetapi kebanyakkan dah penuh kerana kes Covid-19 yang sangat banyak dan tak terima pesakit sebab semua katil dah penuh,” katanya.
Dalam pada itu, Mimi memberitahu keadaannya kini beransur sembuh dan menasihatkan kepada pesakit Covid-19 yang sedang menjalani kuarantin di rumah agar kuat sengat dan sentiasa membuat senaman pernafasan.
“Banyakkan duduk jangan baring sahaja. Jangan banyak berfikir. Kalau betul teruk terus dapatkan pertolongan. Sentiasa update keadaan kesihatan anda dengan orang tersayang,” katanya. – Malaysiapost

