KETUA Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor berkata kerajaan Sabah tidak pernah dan tidak akan mengiktiraf tuntutan ‘waris Kesultanan Sulu’ terhadap negeri itu.
Beliau yang menyifatkan tuntutan itu sebagai sesuatu yang tidak masuk akal, berkata Sabah adalah sebuah negeri berdaulat dalam Persekutuan Malaysia.
Justeru, Hajiji menggesa rakyat agar bertenang dalam isu itu dan menyerahkan kepada pasukan perundangan kerajaan negeri dan Persekutuan untuk menanganinya.
“Ia adalah satu tuntutan yang tidak masuk akal. Kedaulatan Sabah dalam Persekutuan Malaysia tidak seharusnya dipertikai,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Rabu lalu, kenyataan bersama yang dikeluarkan Kementerian Luar dan Jabatan Peguam Negara memaklumkan Kerajaan Malaysia menolak sepenuhnya award sebanyak US$14.92 bilion (RM62.6 bilion) yang kononnya perlu dibayar kepada keturunan Sultan Sulu terakhir iaitu Sultan Jamalul Kiram II.
Menurut laporan media, sebuah mahkamah timbang tara Perancis pada Isnin lalu memutuskan bahawa Malaysia telah melanggar perjanjian yang ditandatangani pada 1878 dan diperintah membayar sekurang-kurangnya US$14.92 bilion kepada keturunan Sulu Sultan yang terakhir itu.
Award itu dikeluarkan oleh penimbang tara Sepanyol Gonzalo Stampa pada 28 Februari lalu.
Proses timbang tara yang bermula di Sepanyol itu telah dipindahkan ke Paris di mana award tersebut diputuskan. – Malaysiapost

