‘Bekas penyokong BN jangan segan untuk kembali’ – Zahid

0
2

PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yakin penyokong Barisan Nasional (BN) tidak akan terpedaya dan masuk perangkap buat kali kedua dengan janji dan propaganda pihak lawan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor atau Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Beliau yang juga Pengerusi BN, berkata pelbagai kata-kata sindiran dilontarkan kepada parti itu, selain menggunakan strategi dengan menyatakan BN sudah terkubur demi meraih sokongan rakyat.

“Kita masih ingat kata-kata Pengerusi Pejuang, Tun Dr Mahathir Mohamad Barisan Nasional (BN) sudah tiada, sudah ‘Innalillahi wainna ilaihi raajiun”.

“Kita juga masih ingat kata-kata Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa sejarah BN sudah berakhir.

“Bagaimanapun saya dimaklumkan tentang strategi Pejuang dan PN berusaha mempengaruhi penyokong BN menyokong mereka pada PRN Johor.

“Jika BN sudah ‘Innalillahi wainna ilaihi raajiun’ dan sejarahnya sudah berakhir, mengapa perlu gigih memujuk penyokong BN mengundi mereka? Sebenarnya ini strategi sama diguna oleh musuh BN untuk menang PRU14 dengan melemahkan kesepaduan penyokong BN,” katanya menerusi Facebook.

Bagaimanapun, beliau tetap yakin penyokong BN tidak akan masuk perangkap yang sama buat kali kedua sama ada pada PRN Johor mahupun PRU15 kelak.

“Ingatlah penghinaan yang mereka pernah katakan kepada BN sejurus mereka memperoleh kuasa. Sebab itu apabila ditanya rakan-rakan apakah diri tidak berasa sedih dizalimi oleh musuh politik, saya katakan saya lebih sedih melihat segelintir penyokong BN dizalimi musuh BN.

“Merekalah penyokong BN yang suatu ketika dulu dizalimi dengan pujukan serta hasutan musuh BN dan terpedaya untuk memberi undi kepada musuh BN,” katanya.

Beliau berkata, namun kini majoriti yang pernah berpaling telah pulang ke pangkuan BN.

“Penyokong BN yang mulai sedar antara persepsi dan realiti, antara dusta dan kebenaran.

“Yang kini menyedari BN satu-satunya gabungan parti politik mampu memacu kejayaan buat rakyat dan negara tatkala PRN Johor bakal mengambil tempat.

“Maka saya katakan juga, seluruh penyokong BN yang setia dari dulu, kini dan selamanya sambutlah tangan mereka yang mahu kembali itu dengan hati terbuka.

“Namun jangan tersilap tafsir antara mangsa dan pemangsa, antara bekas penyokong BN yang dizalimi dan dalang yang memperdayakan mereka,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru kepada bekas penyokong BN yang masih segan silu untuk kembali usahlah ‘overthinking’ atau berasa malu.

“Kembalilah kerana BN tidak pernah tentang mana-mana pemimpin atau individu. BN sentiasa tentang rakyat demi rakyat, tentang negara demi negara.

“Mendepani tarikh 12 Mac marilah kita semua berpadu semula untuk menebus kekhilafan PRU-14 yang tidak pernah diredhai,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here