Manifesto PN retorik, tiada pelan masa depan untuk rakyat Johor

0
2

TIADA apa perancangan masa depan dalam kandungan manifesto yang ditawarkan Perikatan Nasional (PN) kepada rakyat Johor pada Pilihan Raya Negeri (PRN), 12 Mac ini.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Dr Fathul Bari Mat Jahya, berkata berbanding manifesto Barisan Nasional (BN) yang menawarkan satu perancangan masa hadapan kepada rakyat Johor sekiranya menang PRN Johor ini.

“Apa yang dinyatakan oleh mereka (manifesto PN) walaupun bagus, tetapi apakah pelan untuk pemulihan ekonomi, untuk pendidikan, untuk tangani krisis kesihatan, untuk tarik semula pelaburan, apa visi mereka untuk tingkatkan syiar Islam.

“Semua ini tak ada dalam manifesto PN berbanding senarai ikhtiar dalam kandungan manifesto BN yang dilancarkan baru-baru ini,” katanya ketika ditemui Malaysiapost, hari ini.

Justeru, Fathul Bari menegaskan, manifesto PN untuk rakyat Johor adalah bersifat retorik dan mempunyai agenda tersirat di sebaliknya.

“Jadi saya tak nampak apa pelan untuk rakyat negeri Johor, saya nampak pelan itu adalah retorik dan ada matlamat tertentu untuk menyerang individu-individu tertentu.

“Dalam banyak ucapan Tan Sri Muhyiddin Yassin, beliau lebih fokus kepada nama-nama yang diratibkan, zikir-zikirkan soal Najib dan 1MDB dan dikaitkan hal integriti dan sebagainya.

“Pada saya memanglah itu teguran, tetapi bukan jaminan masa hadapan rakyat Johor,” katanya.

Justeru, Fathul Bari menyeru rakyat Johor dapat menilai siapakah paling layak memimpin negeri itu dan mempunyai pelan masa hadapan.

“Kita kena fikir pelan masa hadapan kita, saya cakap ianya berulang kali.

“Kalau kita baca dalam al-Quran dalam hadis, kenapa al-Quran dan hadis bercakap soal hari Kiamat, bercakap soal masa hadapan perkara yang tidak berlaku lagi, kenapa? untuk kita bersedia, jadi persediaan itu penting.

“Kenapa rakyat kena mengundi BN, kerana kita ada pelan masa hadapan mereka,” katanya.

Rabu lalu, Muhyiddin melancarkan manifesto PN sempena PRN Johor yang berteraskan lapan tunjang utama yang menjadi fokus PN.

Ia termasuk kepemimpinan berintegriti dan bebas, keutuhan ekonomi Johor, keutamaan tangani kos sara hidup, keprihatinan kepada rakyat, kesejahteraan sosial, kecekapan infrastruktur, merancakkan sektor pelancongan dan kelestarian alam sekitar.

Jelas Muhyiddin, ikrar yang ditawarkan itu bukan retorik semata-mata, sebaliknya komitmen realistik dan praktikal bahawa kerajaan negeri yang bakal dibentuk kelak adalah bersih, cekap dan prihatin rakyat. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here