Polis kesan dokumen, saksi di luar negara bantu kes Tawfiq

0
2

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) dalam proses mengenal pasti beberapa dokumen dan saksi yang berada di luar negara bagi membantu siasatan kes suami bekas gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Dr Tawfiq Ayman berhubung dakwaan menerima dana berkaitan 1Malaysian Development Berhad (1MDB).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din, berkata siasatan polis berkenaan dakwaan itu sudah dilengkapkan dan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk semakan lanjut.

Katanya, bagaimanapun, arahan dikeluarkan Jabatan Peguam Negara kepada pihak polis supaya mendapatkan dokumen dan saksi-saksi terbabit.

“Kami masih menunggu maklum balas daripada negara terbabit dan setakat ini, kami masih menunggu lampu hijau dari mereka (negara berkenaan) untuk mengambil keterangan saksi-saksi dan dokumen diperlukan.

“Sudah beberapa kali kami berhubung dengan negara berkenaan, namun masih tiada maklum balas diterima.

“Perkara ini membabitkan keterangan saksi dan dokumen, jadi kita tidak boleh sewenang-wenangnya pergi ke sana dan kami memerlukan bantuan pihak berkuasa di negara terbabi,” katanya memetik laporan Harian Metro.

Terdahulu, Tawfiq yang juga suami kepada Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz menerusi firma guaman Tetuan Jagjit, Ariff & Co menjelaskan tidak pernah menerima sebarang bentuk rasuah daripada sesiapa.

Beliau menegaskan tidak mengenali individu bernama Tim Leissner atau Roger Ng jauh sekali bertemu atau berkomunikasi dengan mereka.

Kenyataan itu hadir susulan keterangan diberikan Leissner yang juga bekas pengerusi syarikat perbankan, Goldman Sachs pada prosiding perbicaraan terhadap bekas pegawai bawahannya, Roger Ng di Mahkamah Tinggi Brooklyn, New York, baru-baru ini.

Dalam perbicaraan itu, Leissner dilaporkan menyebut kegiatan rasuah membabitkan Tawfiq mengenai projek usaha sama PetroSaudi-1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Sebelum ini, SPRM dilapor mendedahkan, sekurang-kurangnya RM65 juta dana berkaitan 1MDB diambil balik dari Singapura disimpan syarikat milik Tawfiq.

Siasatan ke atas Tawfiq itu dibuat mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 dengan kenyataan suami dan seorang anak Zeti itu dirakam pada April tahun lalu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here