INISIATIF Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) melalui pengangkutan udara antara Malaysia dan Singapura akan diperluaskan dengan membuka satu lagi laluan baharu iaitu Pulau Pinang-Singapura bermula pada 16 Mac ini.
Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, inisiatif VTL udara itu membolehkan pengembara yang telah divaksin sepenuhnya menggunakan perkhidmatan syarikat penerbangan yang telah ditetapkan sebagai penerbangan VTL.
Beliau berkata, pengembara berkenaan boleh berulang-alik tanpa perlu menjalani kuarantin semasa ketibaan.
“Inisiatif VTL memainkan peranan penting dalam memperkukuhkan ketersambungan pengangkutan udara Malaysia-Singapura di samping membantu memulihkan semula jaringan ekonomi dan perniagaan di antara kedua-dua negara.
“Terutamanya dalam sektor pelancongan yang telah terkesan teruk akibat pandemik Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, inisiatif itu yang bermula bagi laluan antara Lapangan Terbang Changi dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), telah mencatat sejumlah 82,906 ketibaan pengembara dari Singapura sehingga 28 Februari 2022.
“Penerbangan VTL bagi laluan baharu ini akan bermula dengan empat penerbangan sehari yang akan dioperasikan oleh syarikat-syarikat penerbangan Malaysia dan Singapura.
“Penjualan tiket penerbangan VTL akan dibuka oleh syarikat-syarikat penerbangan dalam masa terdekat,” katanya.
Beliau berkata, butiran lanjut mengenai syarat pra-pelepasan dan kemasukan ke Malaysia boleh didapati di laman web Jabatan Imigresen Malaysia di www.imi.gov.my.
“Butiran tentang keperluan VTL bagi perjalanan ke Singapura boleh didapati di https://safetravel.ica.gov.sg,” katanya. – Malaysiapost

