MESYUARAT Jemaah Menteri hari ini, bersetuju melaksanakan projek Mass Rapid Transit 3 (MRT 3) serta menambah baik pelaksanaan projek Lebuh Raya Pan Borneo (LPB) Sabah Sarawak dan projek tebatan banjir.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata kerajaan akan memberi keutamaan kepada kontraktor tempatan terutamanya Bumiputera bagi menjana peluang perniagaan serta peluang pekerjaan untuk Keluarga Malaysia.
Jelasnya, projek itu dijangka akan memacu pertumbuhan dan pembangunan ekonomi, khususnya objektif kerajaan untuk terus memperkasakan sektor perniagaan, serta mencipta 600,000 pekerjaan pada tahun ini.
“Kerajaan mengambil keputusan meluluskan pelaksanaan projek MRT 3 yang akan melengkapkan infrastruktur pengangkutan awam sedia ada di Lembah Klang, dengan menyediakan perkhidmatan yang bersepadu, mampu bayar dan lancar untuk Keluarga Malaysia.
“Berhubung LPB, Fasa Pertama LPB Sabah sedang giat dilaksanakan dan melibatkan 15 pakej di mana kemajuan kerja setakat ini telah mencapai 52% dan dijangka siap sepenuhnya menjelang Oktober 2024.
“Bagi menambah baik lingkaran jalan di Sabah, kerajaan bersetuju untuk meneruskan pelaksanaan 19 pakej kerja tambahan yang akan melibatkan jajaran sepanjang 367 kilometer dengan tempoh pembinaan selama lima tahun,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, Fasa Pertama LPB Sarawak pula akan melibatkan jajaran 786 kilometer (km) dan telah mencapai 78% kemajuan kerja setakat ini.
“Bagi melengkapi LPB Sarawak, Kerajaan turut bersetuju untuk melaksanakan projek Sarawak-Sabah Link Road (SSLR)dan Projek Lebuh Raya Trans Borneo (LTB),” katanya.
Menyentuh mengenai projek tebatan banjir, Ismail Sabri berkata, kerajaan pada masa ini menyediakan peruntukan pembangunan sebanyak RM1 bilion setahun di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12).
“Mengambil kira fenomena banjir Monsun Timur Laut 2021/2022 yang serius sehingga mengakibatkan kehilangan nyawa dan kerosakan harta benda, Jemaah Menteri memutuskan untuk meningkatkan dan menyegerakan projek tebatan banjir.
“Ia membabitkan tambahan perbelanjaan sebanyak RM15 bilion untuk tempoh tahun 2023 sehingga 2030,” katanya.
Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, pelaksanaan projek infrastruktur berimpak tinggi di Semenanjung, Sabah dan Sarawak itu akan memangkin pembangunan ekonomi serta menyumbang kepada daya saing negara dan kesejahteraan rakyat.
“Keputusan melaksanakan projek-projek tersebut mencerminkan keprihatinan kerajaan menyediakan pelbagai peluang bagi Keluarga Malaysia dan mengukuhkan momentum pemulihan ekonomi negara,” katanya. – Malaysiapost

