MUDA tiada niat menceroboh

0
2

Najamuddin Mohd Nor

PARTI Ikatan Demokrasi Malaysia (MUDA) mendakwa telah menjadi mangsa keadaan dan tidak menyangka premis yang dijadikan bilik gerakan untuk Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin, milik kerajaan negeri.

Pengarah Kempen calon MUDA bagi DUN Larkin, Mutalib Uthman berkata, pihaknya tidak tahu mengenai status premis berkenaan dan tidak berniat menceroboh hak pihak lain.

“Kami ketika itu mencari tempat yang sesuai untuk membuat bilik gerakan, jadi apabila menerima tawaran baik oleh pemilik premis berkenaan, jadi kami pun setuju dan perjanjian ditandatangani pada 28 Februari lalu.

“Tapi hampir seminggu baru isu ni timbul. Kita hanya menyewa dengan pemiliknya, kami bukan penceroboh, jadi kami mangsa keadaan,” katanya ketika ditemui di bilik gerakan tersebut, hari ini.

Mutalib juga menegaskan, isu berkenaan boleh dibawa berbincang terlebih dahulu antara MUDA dengan Perbadanan Islam Johor (PIJ).

“Tak adil untuk kami, menuduh kami menceroboh seperti kami masuk tempat orang tak ada adab.

“Kita datang nak kerja, bukan nak cari pasal. Kalau kita salah bawalah berbincang, janganlah terus buat laporan polis,” katanya.

PIJ semalam membuat laporan polis mendakwa inkubator usahawan yang dibina agensi negeri itu di Stulang Baru telah digunakan sebagai bilik gerakan calon MUDA di DUN Larkin.

Berdasarkan laporan polis itu, MUDA didakwa telah menggunakan dua inkubator tanpa kebenaran PIJ.

MUDA juga dijangka akan mengadakan sidang media pada petang ini bagi menjelaskan isu berkenaan.

DUN Larkin menyaksikan pertembungan enam penjuru bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac ini dengan Ketua Penerangan MUDA Johor, Rasid Abu Bakar, 28, menjadi calon bagi parti itu.

Barisan Nasional (BN) mempertaruhkan Ketua Pemuda UMNO Johor, Mohd Hairi Mad Shah, 38, dan Pakatan Harapan (PH) meletakkan Dr Zamil Najwah Arbain, 48 tahun. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here