PN ditubuhkan oleh mereka yang ‘lompat, lompat, lompat’ – Shahril Hamdan

0
1

IKRAR atau manifesto Perikatan Nasional (PN) yang ditawarkan bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dilihat tidak mempunyai kredibiliti, dan tiada perincian serta banyak yang tidak masuk akal.

Ketua Penerangan Umno Shahril Sufian Hamdan, berkata ikrar atau manifesto yang dibuat mana-mana parti bertanding adalah bagi membantu pengundi memilih tawaran yang terbaik.

Menurutnya, untuk sesuatu tawaran itu dianggap bagus mesti ada kredibiliti, perincian yang spesifik bukan hanya aspirasi umum dan mesti masuk akal.

“Saya akan terangkan kenapa tiga elemen ini tiada sangat dalam ikrar PN,” katanya dalam satu rakaman video yang dikongsikan di Facebooknya, hari ini.

Beliau berkata, dalam soal kredibiliti, orang kena percaya apa yang dijanjikan dan sebagai contoh, PN janjikan pentadbiran berintegriti.

“Memang kita sokong integriti, tetapi macam mana kita nak percaya sedangkan PN itu ditubuhkan sendiri oleh mereka yang ‘lompat, lompat, lompat’.

“Selain itu untuk ada kredibiliti melaksanakan janji kita mesti ada kestabilan politik, tetapi langsung tiada sebarang tawaran perkara paling asas pada saat ini iaitu kestabilan. Tidak ada dalam ikrar PN

“Satu lagi mereka janji nak buat penglibatan wanita dalam pengurusan tertinggi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Negeri sebanyak 30 peratus, tetapi calon wanita mereka sendiri hanya 10.7 peratus. Mana kredibilitinya,” katanya.

Menurut Shahril, tawaran juga mesti ada perincian dan tidak boleh hanya ‘soundbite’ dan umum sangat.

“Dalam ikrar PN ini misalnya disebut nak merancakkan penglibatan usahawan mikro kecil dan sederhana (PMKS). Bagus tapi macam mana tidak disebut. Disebut nak menyediakan peluang pekerjaan yang berkualiti tetapi tidak dinyatakan bagaimana.

“Memperkasakan masa depan ekonomi Johor dengan Pelan Sedekad Ekonomi Johor 2022-2032 tetapi tiada perincian. Kalau sekadar nak umum nak buat pelan baik tak payah,” sindirnya.

Beliau berkata, tawaran mesti masuk akal dan terdapat beberapa perkara yang tidak masuk akal dalam ikrar PN.

“PN nak jadikan wilayah utara Johor sebahagian daripada Koridor Ekonomi Pantai Timur (ECER). Ini kurang masuk akal kerana kawasan utara Johor seperti Pagoh dan Muar bukanlah sebelah ECER ini.

“Meletakkan kuota khas kemasukan anak Johor ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di Johor. Tetapi kita semua maklum tempat kemasukan ke IPTA ini bawah kerajaan persekutuan. Jadi tawaran yang tidak masuk akal,” katanya.

Beliau berkata, kesimpulannya akan ada serangan dan kritikan ketika musim pilihan raya, tetapi manifesto adalah unik dan istimewa kerana ia akan menentukan apa yang akan jadi lima tahun akan datang.

“Jadi pengundi wajar membandingkan antara tawaran-tawaran yang dibuat oleh parti-parti bertanding dan saya yakini setelah mengkaji, pengundi akan memilih kepimpinan Datuk Hasni Mohamad yang menawarkan kestabilan masa depan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here