Siasatan SPRM fokus kenal pasti, pemulangan dana terkait 1MDB

0
3

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan dakwaan agensi penguatkuasa gagal mengesan, menyiasat dan mendakwa apa-apa kesalahan dalam transaksi kewangan berkaitan kes dana 1MDB melibatkan Datuk Dr Tawfiq Ayman.

SPRM dalam kenyataan hari ini, berkata pendedahan saksi utama, Pengerusi Goldman Sachs Group Inc Asia Tenggara, Tim Leissner di Mahkamah Amerika Syarikat dalam kes berkaitan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB), bukanlah sesuatu yang baharu.

“Bekas Peguam Negara pada hujung 2018 telah menyelaraskan koordinasi siasatan antara SPRM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung dengan kes ini,” menurut kenyataan itu.

Menurut SPRM, menerusi koordinasi tersebut, fokus SPRM adalah untuk mengenal pasti serta mendapatkan semula dana terkait dengan kes 1MDB termasuk sejumlah AS$15.4 juta, yang melibatkan akaun Cutting Edge Industries Ltd milik Tawfiq yang juga suami kepada bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.

“Pada 19 November 2021 lalu, SPRM telah mengeluarkan kenyataan media mengesahkan pemulangan tersebut.

“Manakala Pejabat Peguam Negara telah mengarahkan PDRM untuk menumpukan kepada aspek kesalahan jenayah berhubung penerimaan wang tersebut ke dalam akaun milik Tawfiq di Singapura dan siasatan masih berjalan sehingga kini,” katanya.

SPRM berkata, penyelarasan itu untuk mengelakkan pertindihan dalam siasatan melibatkan pengumpulan bukti-bukti dan keterangan individu yang terlibat.

“Serta sebagai kemudahan untuk berurusan bersama pihak Singapura yang memberi keutamaan kepada satu agensi penguat kuasa yang menjalankan siasatan kesalahan jenayah.

“Sehubungan itu, tidak timbul isu kegagalan mana-mana agensi penguat kuasa untuk mengesan, menyiasat dan mendakwa apa-apa kesalahan dalam transaksi kewangan tersebut seperti yang dibangkitkan oleh segelintir pihak,” katanya.

Isnin lalu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengemukakan usul kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun untuk membahaskan pendedahan Tim Leissner mengenai pembabitan Bank Negara Malaysia (BNM) dalam skandal 1MDB.

Anwar berkata, isu berkenaan memerlukan perhatian dan perbahasan terperinci serta menyeluruh di Dewan Rakyat kerana melibatkan kepentingan orang ramai.

Menurut Anwar, ia berikutan kegagalan agensi penguat kuasa negara khasnya SPRM mengesan, menyiasat dan mendakwa mana-mana warganegara Malaysia jika terbabit dalam apa-apa kesalahan transaksi kewangan tersebut.

Leissner menjadi menjadi saksi utama dalam perbicaraan jenayah bersubahat membabitkan bekas ketua perbankan pelaburan Goldman di Malaysia, Roger Ng, yang juga bekas rakan kongsinya.

Dalam keterangannya seperti dilaporkan media, Leissner memberitahu mahkamah bahawa BNM meluluskan pemindahan pertukaran asing sebanyak AS$1 bilion semalaman (overnight) daripada 1MDB kepada PetroSaudi International (PSI) selepas Tawfiq didakwa disogok untuk membolehkan perkara itu berlaku (‘make it happen’). – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here