SOLAT sunat Tarawih dibenar dilaksanakan di masjid dan surau di seluruh negara pada Ramadan ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad.
Beliau yang memberi jaminan itu, berkata pelaksanaan solat Tarawih berkenaan akan dilaksanakan berpandukan prosedur operasi standard (SOP) lebih longgar yang akan diumumkan kelak.
Katanya, setakat ini SOP itu masih belum diputuskan, namun operasi masjid akan berjalan seperti biasa meskipun ketika ini situasi Covid-19 dalam negara masih mencatatkan angka yang tinggi.
“SOP nanti akan dilonggarkan, bergantung kepada keadaan semasa. Kita akan ikut nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan buat panduan Tarawih dari situ,” katanya.
Idris berkata, SOP dikeluarkan KKM itu akan dibincangkan bersama pihak berkuasa agama Islam negeri untuk tindakan selanjutnya mengikut negeri masing-masing.
“Insya-Allah imarah masjid tahun ini akan berjalan. Kita doa kepada Allah SWT supaya penularan Covid-19 tidak serius,” katanya.
Beliau juga berkata, pihaknya akan mengikut nasihat KKM mengikut perkembangan dan situasi semasa, selain berharap kelonggaran yang bakal diberikan akan dipatuhi sebaiknya. – Malaysiapost

