AHLI Parlimen Pekan Datuk Seri Najib Razak tetap menegaskan dakwaannya bahawa satu sen pun prinsipal hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak pernah dibayar oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).
Najib menafikan kenyataan media Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, hari ini yang mengatakan beliau menipu dan berfantasi berhubung dakwaan berkenaan.
Menurut bekas Perdana Menteri itu, dakwaannya adalah seperti dimaklumkan Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, di Dewan Rakyat, hari ini sebab ianya hanya akan matang lambat lagi.
“Guan Eng baru keluarkan kenyataan bahawa saya menipu dalam dewan bahawa kerajaan atau wang rakyat tidak pernah bayar satu sen prinsipal hutang 1MDB sebab dia kata kerajaan pernah bayar prinsipal dan faedah sebanyak RM13.3 bilion setakat ini.
“Guan Eng dah lupa? Prinsipal hutang 1MDB pernah naik ke RM42 bilion termasuk dana untuk memberi syarikat-syarikat IPP serta sebidang tanah yang besar di Pulau Pinang. Lalu, kita jual balik syarikat IPP dengan harga RM10 bilion dan tanah Pulau Pinang dengan harga RM2.7 bilion.
“Itu pun bukan duit rakyat dan bukan kamu yang bayar masa kamu Menteri ‘Kewayangan’,” katanya di Facebook, hari ini.
Menurutnya, kerajaan ketika itu berhutang untuk beli aset-aset berkenaan dan kemudian langsaikan hutang dengan hasil jualan aset-aset yang sama.
“Sebahagian prinsipal hutang 1MDB pun dilangsai dan turun ke RM32 bilion pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).
“Namun selepas itu, satu sen prinsipal hutang 1MDB tidak pernah dibayar oleh kerajaan PH dan PN sejak PRU-14 sehingga kini – seperti dimaklumkan Menteri Kewangan hari ini sebab ianya hanya akan matang lambat lagi,” katanya.
Najib mendakwa kerajaan PH dan PN hanya pandai menambah hutang negara serta menjual aset dan menghabiskan tabungan negara.
“RM320 bilion hutang ditambah. Rizab RM176 bilion di jarah. Aset negara RM40 bilion korang pandai jual. Dana simpanan RM19.5 nilion dan RM15 bilion, korang pandai korek.
“Tapi prinsipal hutang 1MDB sebanyak RM32 bilion, korang tak pandai langsaikan?” katanya. – Malaysiapost

