KJ jumpa ibu bapa remaja maut didakwa akibat vaksin

0
3
Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin (BN) tiba di Bangunan UMNO untuk perjumpaan Ahli Parlimen BN hari ini.

Nilam Oshman

MENTERI Kesihatan, Khairy Jamaluddin akan berjumpa ibu bapa remaja berusia 13 tahun yang didakwa meninggal dunia selepas pengambilan vaksin Covid-19 pada Januari lalu.

Beliau berkata, pertemuan itu akan diadakan di pejabatnya di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) esok.

“Saya akan jumpa ibu bapa mendiang esok di pejabat saya. Saya rasa lebih baik saya berjumpa ibu bapa mendiang dulu. Sebelum apa-apa diumumkan secara umum.

“Itu memang prosedur yang patut kita gunakan sebab ini melibatkan butiran kesihatan atau butiran kematian peribadi,” katanya dalam sidang media hari ini.

Jelas Khairy, pihaknya tidak boleh keluarkan butiran bedah siasat yang dijalankan terhadap mangsa, kerana ini adalah maklumat peribadi yang perlu disampaikan kepada ibu bapa remaja tersebut.

“Tetapi sekiranya ibu bapa mendiang setuju maka kita boleh keluarkan tanpa pengenalan, selaras dengan peraturan di KKM.

“Dari segi laporan bedah siasat, Jawatankuasa Farmakovigilans yang menilai dan melihat. Bedah siasat ini bukan hanya bedah siasat tetapi melibatkan sampel darah, sampel tisu ke makmal dan yang paling akhir kita menunggu laporan daripada Jabatan Kimia di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Iniovasi (MOSTI) yang kita terima hari ini.

“Ada yang tanya kenapa laporan kematian mendiang begitu lewat sedangkan kematian berlaku pada Januari. Ini disebabkan kita mahu memastikan siasatannya adalah lengkap. Sebab itu esok saya akan bertemu dengan ibu bapa mendiang,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan ibu bapa kepada remaja itu menggesa pihak berkaitan menjelaskan kematian mangsa yang berlaku beberapa minggu selepas mengambil vaksin. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here