JANJI-janji dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang dibuat Perikatan Nasional (PN) dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) boleh diibaratkan sebagai janji manis sahaja, kata Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Beliau berkata, antaranya adalah berkenaan pemulihan kembali projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura.
“Parti PN berjanji untuk pulihkan kembali projek HSR jika jadi kerajaan, sedangkan Pengerusinyalah yang bersetuju batalkan hingga terpaksa bayar pampasan RM320 juta kepada Singapura waktu jadi Perdana Menteri,” katanya di Facebook, hari ini.
Menurutnya, parti Muda pula berjanji untuk mewujudkan peluang pekerjaan dengan gaji besar dan lumayan jika menjadi kerajaan.
“Sedangkan partinya hanya bertanding tujuh kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam PRN Johor kali ini (Nota: Untuk bentuk kerajaan mesti sekurang-kurangnya menang 29 kerusi DUN),” katanya.
Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam, menyatakan PN akan menyokong pemulihan projek HSR sekiranya gabungan itu memenangi PRN Johor.
Menurutnya, sokongan terhadap projek itu sudah dinyatakan ketika beliau menjadi Perdana Menteri, dengan mendakwa HSR akan memberi manfaat kepada kedua-dua negara.
Sementara itu Setiausaha Agung Muda, Amira Aisya Abd Aziz dalam satu ceramah pilihan raya di Pusat Khidmat Muda, Puteri Wangsa, malam tadi berjanji mewujudkan peluang pekerjaan dengan gaji yang besar jika Muda dan Pakatan Harapan (PH) mendapat mandat dalam PRN Johor.
Beliau yang juga calon DUN Puteri Wangsa, berkata ketika ini orang Johor perlu keluar dari negeri sendiri untuk cari rezeki sama ada ke Singapura atau Kuala Lumpur untuk mencari gaji bermaruah dan kerja yang bagus. – Malaysiapost

