Muhyiddin khianat kerana nak jadi Perdana Menteri – Tun M

0
2
Tun Dr Mahathir Mohamad

TELAHAN Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa Tan Sri Muhyiddin Yassin akan dikhianati Umno akhirnya menjadi kenyataan.

Menerusi satu surat terbuka kepada pengundi Johor, bekas Perdana Menteri itu mengimbas kembali bagaimana kerjasama Muhyiddin bersama kumpulan kleptokrat Umno yang akhirnya memakan diri Presiden Bersatu itu.

“Saya telah ingatkan bahawa bekerjasama dengan kleptokrat dan kluster mahkamah Umno seumpama menunggang harimau dan dia akan akhirnya dibaham.

“Apa yang kita jangka sudah terjadi. Tan Sri Muhyiddin dikhianati oleh Umno, hilang jawatan Perdana Menteri dalam tempoh 17 bulan sahaja,” katanya menerusi surat terbuka itu.

Dr Mahathir juga mendakwa rakyat Malaysia telah berjaya menyekat Umno dan Datuk Seri Najib Razak daripada terus berkuasa pada Pilihan Raya Umum lalu.

“Sebenarnya, kita semua, termasuk pengundi Johor telah berjaya menyekat Datuk Najib dari terus menyamun harta rakyat apabila dia, Umno dan Barisan Nasional ditolak dalam pilihan raya umum yang lalu.

“Kejayaan ini memperlihat ramai pengundi Johor tidak dapat menerima Umno yang menyokong seorang penyamun.

“lanya lebih bermakna di Johor kerana terdapat kuasa-kuasa bukan politik yang cuba mempengaruhi rakyat untuk mempertahan Datuk Najib dan Umno,” katanya.

Justeru, Dr Mahathir menegaskan, Muhyiddin dan partinya sanggup menggadai maruah demi tercapai cita-cita menjadi Perdana Menteri.

“Pejuang tolak Umno, kerana tidak ingin kleptokrat kembali memerintah. Semua pihak yang tolak kleptokrasi jika sokong Pejuang akan berjaya memulih Kerajaan yang utama kepentingan rakyat,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here