KETUA Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan tiada lagi alasan untuk menafikan tuntutan rakyat berkenaan pengeluaran i-Citra RM10,000 ‘one-off’ kerana dividen yang diumumkan hari ini lebih tinggi sebelum waktu pandemik.
Beliau berkata, ternyata KWSP tidak terkesan dengan pengeluaran i-Sinar, i-Lestari dan i-Citra yang berjumlah RM101 bilion sebelum ini kerana jumlah aset pelaburan KWSP sahaja sehingga Julai tahun lalu mencecah RM988.61 bilion.
“KWSP umum dividen lebih tinggi 6.10 peratus berbanding sebelum pandemik. Jumlah pendapatan pelaburan kasar pula meningkat 6 peratus kepada RM67.06 bilion.
“Tiada lagi alasan besar untuk menafikan tuntutan dan harapan rakyat yang sedang susah dan terdesak untuk mengeluarkan wang simpanan mereka sendiri buat kali terakhir RM10,000 daripada KWSP,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.
Hari ini, KWSP mengumumkan dividen sebanyak 6.10 peratus bagi Simpanan Konvensional dan 5.65 peratus untuk Simpanan Syariah bagi tahun 2021.
Ia lebih tinggi berbanding 2020, yang mana dividen bagi Simpanan Konvensional sebanyak 5.20 peratus dan 4.90 peratus untuk Simpanan Syariah.
Jumlah pengagihan terkumpul bagi 2021 adalah RM56.72 bilion, iaitu RM50.45 bilion untuk Simpanan Konvensional dan RM6.27 bilion lagi untuk Simpanan Syariah.
Sementara itu, Asyraf Wajdi menyambut baik tindakan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang dikatakan sudah kali keempat merayu di sidang Parlimen untuk pengeluaran terakhir RM10,000 wang caruman KWSP.
“Buat kali ke-4 Ahli Parlimen Pekan Datuk Seri Najib Razak merayu di Parlimen sebentar tadi agar Menteri Kewangan segera luluskan tuntutan rakyat untuk pengeluaran kali terakhir RM10k KWSP.
“..kerana rakyat hakikatnya kini amat terdesak dan tertekan dengan pelbagai komitmen tertunggak dan demi kelangsungan hidup,” ujarnya. – Malaysiapost

