KUMPULAN Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tidak bercadang untuk membenarkan lagi pengeluaran oleh ahlinya buat masa ini selepas tiga skim yang diperkenalkan sebelum ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, tumpuan pengurus dana persaraan itu kini adalah membina semula simpanan hari tua ahli dan itu adalah mandat yang diterimanya.
Katanya, tiga skim yang diperkenalkan sebelum ini iaitu i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra dilaksanakan tepat pada masanya dalam membantu ahli berdepan cabaran dicetuskan pandemik Covid-19.
“KWSP adalah dana persaraan yang diberi mandat bagi melindungi simpanan ahli untuk keperluan dan kesejahteraan masa depan persaraan mereka.
“Kita faham bila terima desakan, tetapi kena ingat mandat KWSP yang diberi mengikut Akta KWSP 1991 untuk menolong ahli mencapai simpanan hari tua yang cukup. Bantuan yang dibuat (i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra) adalah tepat pada masanya dan masa itu sudah habis.
“Lagipun, kita sudah nampak negara sudah masuk dalam pemulihan. Perangkaan pekerjaan dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menunjukkan negara dalam pemulihan.
“Saya harap kita tidak payah keluar lagi. KWSP akan terus dengan mandat untuk membina simpanan hari tua,” katanya memetik laporan Berita Harian.
Beliau berkata demikian pada sidang media pada taklimat prestasi kewangan KWSP 2021, hari ini.
Mengulas lanjut, Amir Hamzah berkata, KWSP menyokong ahlinya dalam menghadapi cabaran dicetuskan pandemik Covid-19 dengan sebanyak RM110 bilion dikeluarkan membabitkan 7.3 ahli di bawah tiga skim pengeluaran itu.
Beliau berkata, pengeluaran menerusi i-Lestari yang dijalankan dari April 2020 hingga Mac 2021 membabitkan RM20.8 bilion; i-Sinar yang dijalankan Januari-Disember 2021 membabitkan pengeluaran RM58.7 bilion.
Katanya, sementara i-Citra yang berlangsung dari Julai 2021 hingga Februari 2022 membabitkan RM21.4 bilion.
Ketika sidang Dewan Rakyat hari ini, Datuk Seri Najib Razak sekali lagi menggesa Kementerian Kewangan untuk meluluskan pengeluaran KWSP i-Citra sebanyak RM10,000 ‘one-off’ di Dewan Rakyat hari ini.
Menurut bekas Perdana Menteri itu, Kementerian Kewangan perlu meluluskan pengeluaran tersebut buat kali terakhir kerana ketika ini rakyat sangat-sangat memerlukan wang berkenaan. – Malaysiapost

