[Parlimen] AHLI Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Razak sekali lagi menggesa Kementerian Kewangan untuk meluluskan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) i-Citra sebanyak RM10,000 ‘one-off’ di Dewan Rakyat hari ini.
Menurut bekas Perdana Menteri itu, Kementerian Kewangan perlu meluluskan pengeluaran tersebut buat kali terakhir kerana ketika ini rakyat sangat-sangat memerlukan wang berkenaan.
“Saya harap ini kali terakhir Kementerian Kewangan luluskan pengeluaran tersebut. Dulu ada yang cakap cadangan saya ini ibarat ‘meminang Puteri Gunung Ledang’.
“Tetapi sekarang syukur kerana Ahli Parlimen yang bercakap begitu sebelum ini turut menyokong saya, sekali lagi Barisan Nasional (BN) minta diluluskan pengeluaran tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sesi perbahasan usul menjunjung kasih atas titah diraja Yang di-Pertuan Agong, di Dewan Rakyat, hari ini.
Dalam Sidang Dewan Rakyat pada 1 November lalu, Najib menyarankan supaya kerajaan menaikkan had maksimum pengeluaran i-Citra KWSP kepada RM10,000.
Beliau berkata cadangan itu bukan disifatkan sebagai langkah populis tetapi berpunca daripada keperluan mendesak rakyat pasca Covid-19.
“Saya mendapati ramai yang bersuara dan mendesak. Ini sebenarnya mereka mempunyai tunggakan yang perlu dijelaskan ataupun berniat untuk mengumpul modal bagi memulakan perniagaan kecil,” katanya. – Malaysiapost

